Shazeli Kahar ketua polis Selangor baharu

Shazeli Kahar ketua polis Selangor baharu

Beliau ambil alih tugas Hussein Omar Khan yang dilantik pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sejak 21 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Shazeli Kahar (kanan) sambil disaksikan Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman Gilberd Philip Layang. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur Shazeli Kahar dilantik sebagai ketua polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Shazeli mengambil alih tugas Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak 21 Julai lalu.

Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Shazeli diadakan di IPK Selangor, disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (Jlog) Bukit Aman Gilberd Philip Layang.

Shazeli dalam ucapan berkata, pelantikan itu satu amanah besar yang dipertanggungjawabkan terhadap dirinya selain menzahirkan komitmen untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran kontinjen serta memastikan keamanan dan ketenteraman di Selangor kekal terjamin.

“Sebagai ketua polis Selangor yang baharu saya menyedari harapan masyarakat dan warga PDRM terhadap kepimpinan yang berintegriti dan berwibawa seta dekat di hati.

“Justeru, saya bertekad meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina serta memacu perubahan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan Selangor kekal terpelihara,” katanya.

Shazeli, 50, yang berkhidmat hampir 25 tahun memulakan kerjaya sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Ipoh, Perak sebelum dilantik ke pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan dalam Cawangan Khas termasuk melibatkan ekstremis sosial dan pelampau agama sebelum diberi tanggungjawab mengetuai Cawangan Khas di IPK Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.