
Teoh menuduh seorang pemimpin jawatankuasa pusat ‘menanam’ ahli ke dalam Gerakan Selangor tanpa pengetahuannya, dan menggesa Presiden Dominic Lau menyiasat serta menyelesaikan perkara itu.
Lau kemudiannya segera mengadakan mesyuarat tertutup dan meminta wartawan yang hadir meninggalkan dewan.
Dalam sidang media selepas itu, Lau berkata berlaku salah faham mengenai proses pengambilan ahli. Katanya, tiada cubaan untuk memanipulasi keahlian Gerakan Selangor.
Beliau menjelaskan beberapa ahli baharu memohon melalui platform dalam talian parti, sekali gus tidak perlu mendapatkan kelulusan ketua negeri bagi setiap permohonan.
Lau berkata isu ini bukan hanya berlaku di Selangor, malah juga di Perak dan Pahang – tiga negeri yang sedang menjadi fokus perluasan pengaruh Gerakan.
“Proses permohonan ahli secara dalam talian memang melangkaui kepimpinan tempatan, negeri dan pusat. Kita gunakan sistem ini untuk memperluaskan asas sokongan. Ahli baharu ini bukan ‘hantu’ tetapi rakyat Malaysia sebenar yang memiliki MyKad,” katanya.
Lau mengakui terdapat kelemahan dalam sistem pendaftaran atas talian dan berjanji akan menyelesaikan masalah salah komunikasi dengan ketua negeri.
Teoh berkata beliau menerima penjelasan itu dan berharap kepimpinan negeri dimaklumkan pada masa depan apabila ahli baharu didaftarkan.