MIPP bidas Urimai, Ramasamy tiada kredibiliti dalam masyarakat India

MIPP bidas Urimai, Ramasamy tiada kredibiliti dalam masyarakat India

Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam berkata PN sedang beransur-ansur meraih sokongan pengundi India sedangkan Urimai bukan badan berdaftar.

S Subramaniam berkata berbanding P Ramasamy dengan Urimai, MIPP bergerak sah dalam PN dan fokus bina kekuatan politik kukuh masyarakat India.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam membidas pimpinan Urimai dengan melabel Pengerusi P Ramasamy sebagai ‘oportunis’ yang tidak mempunyai kredibiliti dalam kalangan masyarakat India.

“Adakah Ramasamy benar-benar seorang pemimpin? Adakah Ramasamy mempunyai kredibiliti?

“Mengapa beliau keluar DAP? Beliau bukan keluar kerana memperjuangkan komuniti, tetapi kerana tidak mendapat kerusi pada PRN lalu. Beliau seorang oportunis,” katanya kepada FMT.

Kenyataan itu susulan dakwaan Ketua Urimai Selangor K Gunasekaran, Perikatan Nasional (PN) gagal menarik penyertaan ‘pemimpin India sebenar’ yang mempunyai sokongan akar umbi.

Gunasekaran menegaskan, pengundi India masih belum memberi sokongan padu kepada gabungan pembangkang itu walaupun timbul rasa tidak puas hati semakin meningkat terhadap pentadbiran Madani.

Subramaniam turut mengkritik wakil masyarakat India pada himpunan ‘Turun Anwar’ baru-baru ini, dengan menyifatkan penceramah yang hadir tidak dikenali dan tiada kredibiliti dalam masyarakat India.

Beliau menolak dakwaan Gunasekaran, sambil menegaskan PN sedang beransur-ansur untuk meraih sokongan pengundi India.

“Di seluruh negara, kami telah membina sokongan kira-kira 20% pengundi India untuk PN. Pada setiap PRK, kami memperoleh sekitar 30% hingga 35% undi India, jadi puratanya di seluruh negara, kami berada pada tahap 20%.

“Jadi, apa yang dimaksudkannya apabila mengatakan MIPP tiada kredibiliti?” soalnya.

Beliau berkata, partinya memainkan peranan sah dan berstruktur membentuk wakil politik masyarakat India dalam gabungan PN.

Subramaniam berkata, tidak seperti Urimai, MIPP beroperasi sebagai parti politik berdaftar dan memberi tumpuan pembinaan kekuatan politik masyarakat India yang lebih kukuh dan konstruktif.

Katanya, kempen ‘reset’ anjuran MIPP giat mendekati masyarakat India di seluruh negara bagi menangani isu sistemik serta mendapatkan kembali peluang yang hilang kesan kepimpinan tidak berkesan sejak puluhan tahun.

Sebagai sebahagian PN, Subramaniam berkata MIPP berada pada kedudukan ‘kerajaan menunggu’ dan bekerja melalui saluran sah menggapai kemajuan sebenar.

Ditanya sama ada MIPP terbuka bekerjasama dengan Urimai, Subramaniam berkata partinya tidak menolak kerjasama, tetapi mempersoal keabsahan pergerakan itu.

“Kami boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Tetapi, apakah pergerakan itu benar-benar sebuah parti rasmi? Pendaftaran parti pun tidak dapat selesai. Jadi, mengapa bercakap mengenai kredibiliti?” soalnya.

“Urimai hanya sebuah gerakan. Bukan NGO pun. Beritahu mereka daftar dulu. Jika mereka tidak dapat menjadi parti, berdaftarlah sebagai NGO. Kemudian, kita jalin kerjasama,” katanya.

Pada 4 Julai tahun lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memaklumkan penolakan pendaftaran Urimai sebagai parti politik. Ia kemudian disusuli kenyataan Ramasamy, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga menolak rayuan Urimai.

Ramasamy berkata, pegawai kementerian memaklumkan keputusan Saifuddin itu ‘tanpa memberikan sebarang alasan penolakan’.

Pada 27 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada Urimai memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan berhubung perkara itu. Kes berkenaan masih berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.