
Dzulkefly berkata, pendaftaran itu menandakan berakhirnya kemelut sebelum ini berhubung pelaksanaan latihan kepakaran laluan selari serta pengiktirafan kelulusan antarabangsa termasuk bidang pembedahan kardiotorasik.
“Untuk makluman, kelima-lima pakar bedah kardiotorasik tersebut sedang berkhidmat di Hospital Pulau Pinang dan Institut Jantung Negara,” katanya dalam kenyataan.
Pada Jun, menandatangani satu perintah menteri menguatkuasakan pindaan terhadap Akta Perubatan 1971, yang berkuat kuasa pada 1 Julai.
Langkah berkenaan membolehkan senarai kelayakan diiktiraf MMC merangkumi semua universiti luar negara yang terlibat dalam melahirkan pakar melalui laluan selari.
Dzulkefly berkata, pindaan itu bermakna dua laluan untuk menjadi pakar – iaitu laluan selari dan program sarjana – dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta telus, selaras undang-undang sedia ada.
Pindaan dibuat susulan kontroversi mengenai keengganan MMC mengiktiraf beberapa program laluan selari seperti kelayakan pembedahan kardiotorasik daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh, walaupun terdapat kekurangan pakar dalam bidang tersebut di hospital kerajaan.
Dzulkefly juga mengesahkan pemberian elaun khas bagi pegawai perubatan menjalani ‘supervised work experience’ (SWE), iaitu tempoh percubaan wajib bagi setiap pegawai perubatan yang telah tamat latihan kepakaran.
“Elaun khas tersebut, iaitu bayaran insentif pakar prawarta diberikan pada kadar sama dengan elaun diterima oleh pakar yang telah pun berdaftar,” katanya sambil menambah ia bagi mengiktiraf peranan dan serta komitmen pegawai sedang menjalani SWE.
Katanya, beberapa usaha lain yang sedang dijalankan termasuk memperincikan proses pendaftaran pakar khususnya yang baru pulang dari luar negara melalui proses penilaian kebolehbandingan.
Media sebelum ini melaporkan mengenai dasar baharu mewajibkan doktor menjalani tempoh percubaan 18 bulan sebelum disahkan sebagai pakar, berbanding enam bulan sebelum ini. Dalam tempoh berkenaan, dikatakan pegawai perubatan menerima kurang daripada separuh gaji yang sepatutnya walaupun melaksanakan tugas setaraf pakar.
Kementerian Kesihatan tampil menafikan pengenalan dasar sedemikian.