MIC perlu menang 3 kerusi jika mahu kekal relevan, kata penganalisis

MIC perlu menang 3 kerusi jika mahu kekal relevan, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata masa depan MIC memang berada dalam BN dan pada masa sama parti itu perlu bekerja lebih keras menarik undi bukan Melayu.

Pada PRU lalu MIC bertanding tiga kerusi iaitu Tapah, Tebrau dan Segamat namun kalah semuanya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Di sebalik ‘pujukan’ Zahid Hamidi supaya MIC kekal dalam Barisan Nasional, parti itu perlu bekerja keras menang sekurang-kurangnya tiga kerusi pada PRU16 bagi membolehkan mereka kekal relevan.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata bagi mencapai hasrat itu BN perlu memberikan ruang kepada MIC bertanding lebih banyak kerusi pada PRU16 berbanding PRU15 iaitu tiga kerusi.

“Masa depan MIC memang berada dalam BN dan tidak boleh bersama Perikatan Nasional. (Jika menang tiga kerusi) maka besar kemungkinan MIC akan mendapat tempat dalam kerajaan yang akan dibentuk kemudian, tidak kira bersama PH atau pakatan lain,” katanya kepada FMT.

Untuk rekod, pada PRU lalu MIC hanya menang Parlimen Tapah menerusi Timbalan Presiden M Saravanan.

Ahad lalu, Zahid yang juga pengerusi BN yakin masa depan MIC lebih terjamin bersama gabungan itu, di sebalik kenyataan seorang pemimpinnya yang tidak puas hati kerana parti tidak diberi peranan dalam kerajaan perpaduan.

Beliau yang juga presiden Umno berkata, MIC parti memperjuangkan kepentingan komuniti India tidak sepatutnya keluar gabungan tersebut dan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah berkata cubaan memujuk MIC mencerminkan kesedaran kepentingan parti tersebut dalam ekosistem politik BN.

Katanya, tindakan Zahid juga boleh dilihat sebagai strategi mengelakkan perpecahan dalam gabungan yang boleh melemahkan BN secara keseluruhan.

“Jika MIC keluar, ia mungkin membuka ruang untuk parti lain menarik sokongan komuniti India yang sebelum ini cenderung menyokong BN, ini akan memberi kesan domino kepada BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.