Kerajaan diperintah bayar keluarga Ivana Smit RM1.1 juta

Kerajaan diperintah bayar keluarga Ivana Smit RM1.1 juta

Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kecuaian dalam menjalankan tugas mereka menyiasat kematian model Belanda itu.

ivana smit
Ivana Smit, 18, ditemui mati di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017, selepas terjatuh dari satu unit di tingkat 20. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada keluarga model Belanda, Ivana Smit kerana gagal menjalankan siasatan sewajarnya atas kematiannya.

Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata pegawai penyiasat Faizal Abdullah telah ‘sewenang-wenangnya mengklasifikasikan kematian Smit sebagai bunuh diri’ walaupun ada bukti keadaan menunjukkan kemungkinan berlaku pembunuhan.

Hakim berkata, pegawai penyiasat awal, Hazliza Hamdan, telah menimbulkan kecurigaan mengenai unsur jenayah, namun Faizal, pegawai atasan beliau, menolak dakwaan tersebut.

“IO (Faizal) mengaku walaupun menerima laporan forensik yang menyatakan DNA (suspek) Alex Johnson ditemui di bawah kuku si mati, tiada tindakan segera diambil untuk menangkap Alex dan isterinya, Luna Almaz,” katanya.

Menurut Roz Mawar, Faizal telah mengaitkan kehadiran DNA Johnson itu dengan aktiviti seksual bersama si mati.

Mahkamah turut mengambil maklum satu lagi Mahkamah Tinggi pernah mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengarahkan polis menyiasat punca kematian Smit pada 2019.

“Walaupun ada arahan kehakiman, pihak defendan (termasuk Faizal) gagal mematuhi arahan ini dengan sewajarnya.

“Satu pasukan petugas telah ditubuhkan untuk menyiasat kematian si mati, namun IO masih dikekalkan sebagai ahli pasukan tersebut.”

“Dalam keterangannya, beliau memberitahu mahkamah siasatan masih dijalankan tetapi gagal menunjukkan kepada mahkamah apakah kemajuan telah dicapai.

“Mahkamah mendapati siasatan ini tidak menunjukkan sebarang perkembangan sejak 2019,” kata Roz Mawar.

Ibu Smit, Christina Caroline Gerarda Johanna Verstappen, telah memfailkan saman bagi pihak keluarga pada tahun 2020, menamakan kerajaan, polis, dan Faizal sebagai defendan.

Smit, yang berusia 18 tahun, ditemui mati di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari sebuah unit di tingkat 20.

Siasatan awam pada 2018 mendapati kematiannya adalah satu ‘kemalangan malang’.

Namun, setelah disemak semula oleh Mahkamah Tinggi, mahkamah memutuskan kematian Smit disebabkan ‘individu dikenali atau tidak dikenali’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.