2,724 pelajar dijangkiti influenza, Mara arah MRSM buat PdPR

2,724 pelajar dijangkiti influenza, Mara arah MRSM buat PdPR

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengurusannya sudah mengarahkan semua pengetua mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.

Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata mana-mana MRSM yang merekodkan lebih 50 kes influenza, dibenarkan mengarahkan pelajarnya pulang dan mengadakan kelas secara PDPR bagi memutuskan rantaian virus. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengarahkan 34 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) susulan penularan kes jangkitan influenza membabitkan pelajarnya.

Langkah itu diambil selepas setiap MRSM berkenaan melaporkan jangkitan melebihi 50 kes, membabitkan seramai 2,724 pelajar.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pengurusannya sudah mengarahkan semua pengetua sekolah terbabit supaya mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.

“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memberikan rawatan segera kepada pelajar yang mempunyai simptom influenza di klinik kesihatan atau hospital, mengasingkan pelajar yang sakit daripada yang sihat serta memastikan pemakaian pelitup muka.

“Kita juga mengarahkan supaya pelajar dibekalkan dengan air masak yang mencukupi, menangguhkan sebarang aktiviti luar buat sementara waktu serta memastikan sekolah sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan mematuhi segala nasihat yang diberikan,” katanya, menurut Berita Harian.

Katanya, pihaknya sentiasa menekankan kebajikan dan keselamatan semua warga MRSM.

“Justeru, semua langkah pencegahan sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan jangkitan ini,” katanya.

Terdahulu menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata mana-mana MRSM yang merekodkan lebih 50 kes influenza, dibenarkan mengarahkan pelajarnya pulang dan mengadakan kelas secara PDPR bagi memutuskan rantaian virus dan proses sanitasi dilakukan.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum itu memaklumkan sebanyak 97 kluster jangkitan Influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya dengan majoriti membabitkan institusi pendidikan.

Menurutnya, semua negeri melaporkan peningkatan kes dan lima negeri tertinggi adalah Selangor dengan 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.