
PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat, tanpa mendedahkan tarikh sebenar.
Beliau secara berseloroh berkata, petugas media masih berpeluang bercuti sebelum pengumuman dibuat.
“Lama lagi bubar…boleh lagi cuti satu, dua minggu ini,” katanya menurut Sinar Harian.
Ditanya jika pembubaran itu selepas sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, Hajiji meminta wartawan menunggu pengumuman rasminya.
Terdahulu, pemerhati politik membuat spekulasi PRN mungkin diadakan sebelum Hari Kebangsaan atau selepas Hari Malaysia.
Penggal DUN Sabah akan tamat 11 Nov ini, jika tidak dibubarkan lebih awal. PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.