
Dzulizwar Bakir, yang berpangkat sarjan, berkata banduan melontarkan kata-kata kesat dan ugutan terhadap keluarga pegawai penjara, yang mencetuskan tindak balas emosinya.
“(Bagi) apa yang berlaku dalam kejadian itu, saya dengan ikhlas memohon maaf.
“Saya marah tetapi saya tidak berniat mencederakan atau menyakiti sesiapa,” kata Dzulizwar, yang bertugas di pintu utama penjara, kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam siasatan berhubung dakwaan penderaan terhadap lebih 100 banduan oleh kira-kira 60 warden dalam kejadian itu.
Suruhanjaya itu menyiasat dakwaan kekejaman dikatakan menyebabkan kematian seorang banduan dan kecederaan terhadap beberapa yang lain.
Ketika ditanya sama ada wajar menggunakan kekerasan terhadap banduan hanya kerana mereka menghina pegawai penjara, Dzulizwar menjawab: “Ia tidak wajar.”
Terdahulu, beliau mengakui gagal mengawal emosinya selepas banduan memprovokasi beliau dan pegawai lain dengan kata-kata lucah serta ugutan untuk merogol isteri dan anak mereka.
“Kalau mereka hina kami, kami masih boleh terima. Tapi bila melibatkan keluarga, saya tak boleh diam,” katanya.
Ketika ditanya Pengerusi Suhakam, Hishamudin Yunus, sama ada tindakannya itu boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan, Dzulizwar bersetuju ia tidak boleh.
Beliau berkata, tindakan membantah oleh banduan berpunca daripada pemindahan mereka ke Blok E yang didakwa dalam keadaan lebih teruk termasuk sel kotor, penggunaan tandas baldi dan peraturan ketat.
Katanya, ramai daripada banduan telah terbiasa dengan disiplin yang lebih longgar di fasiliti Bukit Gajah, tempat asal mereka sebelum dipindahkan, menyebabkan mereka lebih berani membantah dan berasa tidak puas hati selepas arahan pemindahan itu.