
Setiausaha Agung PN Azmin Ali berkata kertas cadangan penubuhan blok pembangkang itu telah dibentangkan Pengerusi Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat majlis terbabit hari ini.
Menurutnya, matlamat BPB bertujuan mencapai muafakat dengan parti politik di luar kerajaan dan mengambil pendirian sama dalam perkara berkaitan kepentingan rakyat serta negara.
“Majlis Tertinggi PN memperakukan cadangan ini dan akan melaksanakan beberapa perbincangan susulan dengan parti politik di luar blok kerajaan dan pemegang taruh dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Pada 15 Jul lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu memberi kuasa kepada Muhyiddin untuk menerajui usaha membina hubungan dengan parti di luar blok kerajaan bagi membentuk BPB.
Susulan itu, tiga hari kemudiannya, Muhyiddin dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bertemu dengan parti selain Gerakan serta MIPP yang telah berada dalam PN.
Pertemuan itu antaranya dihadiri pemimpin dari Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pejuang dan Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP).
Namun perjumpaan itu tidak dihadiri Presiden PAS Hadi Awang yang mendapat jemputan kerana berada di program berlainan telah diatur lebih awal.