Berjaya ‘desak’ PM umum bantuan, PN pembangkang berkesan, kata pemimpin

Berjaya ‘desak’ PM umum bantuan, PN pembangkang berkesan, kata pemimpin

Pemimpin Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid berkata percaya pengumuman beberapa inisiatif Rabu lalu untuk bunuh momentum himpunan, esok.

Harris Idaham Rashid dakwa pengumuman insentif oleh kerajaan Rabu lalu disifatkan indah khabar dari rupa. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Beberapa inisiatif diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Rabu lalu antaranya disebabkan desakan Perikatan Nasional (PN) untuk meringankan beban rakyat, kata seorang pemimpin Pemuda Bersatu.

Ketua Penerangan, Harris Idaham Rashid, berkata pengumuman Rabu lalu antaranya bantuan sekali beri RM100 bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penurunan RON95 kepada RM1.99 seliter diibaratkan sebagai ‘panadol’ untuk meredakan kemarahan rakyat.

“Pemuda Bersatu juga ingin mengucapkan tahniah kepada PN kerana telah berjaya mendesak perdana menteri untuk bertindak meringankan beban rakyat sekali gus membuktikannya sedang menjalankan peranan sebagai pembangkang dengan berkesan.

“Pemuda Bersatu juga percaya pengumuman ini dibuat untuk membunuh momentum menjelang Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai (esok),” katanya yang turut mengibaratkan pengumuman itu sebagai indah khabar dari rupa.

Selain SARA dan penurunan harga RON95 susulan pelaksanaan subsidi bersasar selepas September depan, Anwar turut mengumumkan kenaikan seganda peruntukan bagi program Jualan Rahmah serta penangguhan kenaikan kadar tol 10 lebuh raya dijadualkan tahun ini.

Harris turut mengkritik pengumuman bantuan itu yang disifatkan tidak selari dasar kerajaan berkaitan subsidi bersasar dan tidak mahu menguntungkan golongan ‘mahakaya’.

Menurutnya, ini kerana bantuan SARA kepada semua dewasa juga bakal dinikmati legenda perniagaan Robert Kuok yang dikatakan mempunyai nilai kekayaan RM50.3 bilion.

“Pemuda berpendapat kerajaan harus menaikkan nilai bantuan kepada golongan memerlukan supaya lebih memberi impak daripada memberikan kepada individu seperti Robert Kuok,” katanya.

Beliau juga menyifatkan penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen tidak memberi perbezaan kepada rakyat biasa.

Harris memberi contoh jika sebuah Perodua Myvi yang mempunyai kapasiti tangki 36 liter, seseorang perlu membayar RM71.64 bagi harga baharu manakala RM73.80 sebelum ini.

“Pengguna Myvi itu dapat menjimatkan sebanyak RM2.16 secara keseluruhan. Walaupun penurunan ini sedikit-sebanyak menurunkan perbelanjaan tetapi untuk penjimatan sebanyak RM2.16 ‘poster teaser’ yang dimuat naik sembilan hari lebih awal adalah boneka murahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.