
Menurut Saifuddin, beliau belum menerima maklumat terperinci berhubung perkara itu, namun telah mengarahkan pihak polis untuk menyediakan laporan dan memberi maklum balas terhadap kebimbangan awam.
“Ini salah satu isu legasi dan saya akan minta polis mempersiapkan (maklumat) untuk berdepan dengan rakyat berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Sinar Harian.
Pada 28 Okt, Indira dilaporkan berasa terkejut dengan laporan berita mendakwa Riduan mengakses program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif BUDI95.
Kedua-dua skim tersebut hanya ditawarkan kepada penduduk Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan.
Beliau berkata, laporan tersebut bercanggah dengan kenyataan pihak berkuasa sebelum ini bahawa Riduan berada di Thailand.
Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Riduan lebih 15 tahun lalu selepas dia melarikan diri dari negara ini bersama anak perempuannya, Prasana Diksa, pada 2009 ketika anaknya itu berusia 11 bulan.
Dia sebelum ini dilaporkan mengislamkan Prasana tanpa persetujuan Indira.
Satu keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan pada 2018 mengisytiharkan penukaran agama tiga anak itu secara sepihak oleh Riduan sebagai tidak sah dan terbatal.
Mahkamah juga memerintahkan polis melaksanakan waran komital terhadap Riduan atas kesalahan menghina mahkamah kerana ingkar menyerahkan semula Prasana kepada Indira, yang diberi hak penjagaan penuh terhadap ketiga-tiga anak mereka.
Indira telah menyaman bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador dan kerajaan atas kegagalan menahan Riduan serta memulangkan anaknya. Pada 11 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakimannya.
Prasana kini dianggarkan berusia 17 tahun.