
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung cubaan meragut seorang guru tadika 36 tahun pada 11.10 pagi Selasa lalu.
Menurutnya, suspek ditahan orang awam dan setibanya polis di lokasi mendapati dia dalam keadaan terbaring, tidak sedarkan diri serta cedera.
“Pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan suspek meninggal dunia dengan kesan pukulan.
“Hasil siasatan polis mengesahkan mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta dipercayai warga asing,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, lapan warga tempatan berusia 22 hingga 72 tahun ditahan pada hari sama.
Katanya, mereka direman enam hari hingga 28 Julai ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau meminta individu mempunyai maklumat berkaitan atau butiran si mati menghubungi pegawai penyiasat Ong Eng Yew 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Naazron menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang ketika melakukan tangkapan dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya.