2 remaja ditahan curi wang datuk RM10,000 bawah tilam

2 remaja ditahan curi wang datuk RM10,000 bawah tilam

Polis berkata nilai keseluruhan wang hilang masih dalam siasatan dan dipercayai mencecah RM40,000.

Jasmin Hussin
Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata dua remaja berusia 13 hingga 15 tahun ditahan kerana mencuri wang datuk untuk membeli barangan kosmetik, pakaian, makanan dan keperluan harian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua remaja perempuan ditahan mencuri wang datuk sendiri sebanyak RM10,000 untuk membeli barangan kosmetik, pakaian, makanan dan keperluan harian.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata seorang warga emas membuat laporan wang simpanannya bawah tilam katil dalam bilik tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Merotai Besar, Tawau hilang kira-kira 7 malam Selasa lalu.

Menurutnya, mangsa mengesyaki wangnya dicuri individu dikenali dan memaklumkan anaknya membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menahan dua remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun kerana disyaki terlibat,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, dua remaja itu disahkan cucu mangsa dan mereka ditahan kira-kira 4.45 petang hari sama.

Menurutnya, nilai keseluruhan wang hilang masih dalam siasatan dan dipercayai mencecah RM40,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.