Penguat kuasa didakwa minta suapan RM8,500

Penguat kuasa didakwa minta suapan RM8,500

Tertuduh mengaku tidak bersalah minta rasuah sebagai dorongan tidak siasat kesalahan bawa minyak masak terpakai tanpa lesen.

seremban court
Mahkamah Sesyen Seremban benar ikat jamin RM4,000 dengan sebutan semula kes 27 Ogos ini. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah berkaitan kes minyak masak tanpa lesen.

Sahzul Hisam Samsuri, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Hassan.

Dia didakwa secara panggilan telefon dengan seorang lelaki telah meminta wang RM8,500 untuk dirinya sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan kes kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen sah, pada 11 Sept 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Sahzul Hisam yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan telah digantung tugas dan tidak mempunyai pendapatan tetap serta mempunyai enam tanggungan, selain masih menerima rawatan di hospital kerana menghidap darah tinggi.

“Pada penghujung Julai lepas juga saya telah dituduh di Mahkamah Shah Alam atas tiga pertuduhan yang sama dengan nilai jaminan untuk kesalahan itu RM9,000, jumlah terkumpul yang saya bawa hari ini hanya RM3,000 sahaja (untuk jaminan),” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.