
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu bakal memberikan rangsangan kepada ekonomi, walaupun dalam jangka pendek.
Seorang lagi ahli ekonomi Geoffrey Williams pula berpendapat meskipun jumlah itu kecil, ia tetap memberi makna kepada keluarga berpendapatan rendah.

Afzanizam berkata bantuan sebahagian daripada pakej bantuan RM15 bilion di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA itu dijangka meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan permintaan domestik, yang menjadi tonggak utama ekonomi negara.
“Ini boleh memberi lonjakan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua,” katanya kepada FMT.
“Langkah ini pasti dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna. Memandangkan perbelanjaannya merangkumi 60% daripada KDNK, ia seharusnya memberi kesan ketara kepada ekonomi keseluruhan khususnya permintaan domestik,” tambahnya.
Beliau juga menyifatkan bantuan itu sebagai langkah kerajaan bagi meningkatkan perbelanjaan untuk merangsang ekonomi — ketika risiko global semakin meningkat.
“Digabungkan dengan penurunan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR), langkah ini dijangka akan meningkatkan pertumbuhan KDNK pada separuh kedua tahun, yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pengumuman khas berkata 22 juta rakyat akan mendapat bantuan RM100 SARA sekali beri melalui MyKad itu sempena Hari Kebangsaan.
Beliau turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 ketika ini, menerusi subsidi bersasar yang perinciannya bakal diumumkan menjelang akhir September ini.

Williams pula melihat bantuan RM100 ini sebagai satu ‘titik perubahan berpotensi’ dalam dasar kebajikan negara.
“Ini satu inisiatif baik dan boleh berfungsi sebagai projek perintis kepada reformasi program STR/SARA untuk membentuk satu sistem Pendapatan Asas Sejagat (UBI) pertama di dunia dengan meletakkan Malaysia peneraju dalam reformasi kebajikan.
“Ia mempunyai semua ciri-ciri UBI iaitu pemindahan tunai kepada individu, bukan isi rumah, tanpa syarat dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa perlu memohon,” katanya.
Williams berkata walaupun jumlah RM100 itu mungkin dilihat kecil dan sekali sahaja, ia tetap signifikan kepada keluarga miskin dan individu bujang.
“Bagi isi rumah mempunyai empat orang dewasa, itu adalah RM400, cukup untuk menampung kos makanan asas.”
Beliau menambah langkah iiu mampu dibiayai melalui reformasi subsidi yang sedang dilaksanakan dan boleh menjana sehingga RM6 bilion dalam perbelanjaan tambahan kepada ekonomi tahun ini.
“Ini cara sangat baik untuk menggunakan RM2 bilion dan akan menambah rangsangan kecil bernilai RM6 bilion kepada penggunaan pada separuh kedua untuk menyokong pertumbuhan dijangka lebih perlahan,” kata Williams.
“Ia sememangnya satu langkah baik. Walaupun ada yang sinis tentang masa pelaksanaannya, beliau (PM) wajar dipuji atas tindakan itu.”
Mengenai subsidi bahan api, Williams berkata penurunan harga daripada RM2.05 kepada RM1.99 adalah kecil tetapi tetap membantu.
“Penurunan kecil daripada RM2.05 kepada di bawah RM2 memang membantu tetapi hanya sedikit. Rasionalisasi subsidi bukan bertujuan mengurangkan kos harian, tetapi lebih kepada kurang pembaziran perbelanjaan subsidi.”
“Ia tidak akan membebankan dan akan dibiayai daripada penjimatan diperoleh daripada pengguna berpendapatan tinggi,” tambahnya.
Williams berkata beberapa bentuk subsidi masih diperlukan supaya golongan berpendapatan rendah tidak terpinggir daripada mendapatkan bahan api.
“Kita perlu lihat mekanismenya, tetapi satu bentuk subsidi masih perlu untuk mengelakkan golongan miskin daripada tersisih daripada akses kepada petrol,” katanya.
Afzanizam turut berkata bantuan bersasar untuk bahan api boleh membantu mengekang inflasi.
Beliau menambah, meskipun wujud risiko peniaga menaikkan harga barang, penetapan subsidi RON95 hanya kepada individu yang layak boleh mengurangkan risiko inflasi.