Fokus bantu rakyat bukan buang masa perbalahan kecil, Anwar beritahu pemimpin PKR

Fokus bantu rakyat bukan buang masa perbalahan kecil, Anwar beritahu pemimpin PKR

Presiden PKR itu juga seru jentera parti bersiap sedia bagi berdepan cabaran pilihan raya akan datang.

Anwar Ibrahim
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata cabang yang tiada pertambahan ahli dan tiada kegiatan tidak akan diberi peruntukan.
KOTA BHARU:
Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan kepimpinan pada setiap peringkat supaya tidak leka dan membuang masa dengan perbalahan remeh, sebaliknya fokus pada tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026, beliau turut menyeru jentera parti supaya merapatkan barisan dan bersiap sedia bagi mendepani cabaran pilihan raya akan datang.

“Kita kena bersiap dari sekarang untuk berdepan dengan pilihan raya umum. Ikhtiar dan kerja perlu seiring daripada bertelingkah hal remeh-temeh dan jangan fikir masalah kerana ia tidak akan selesai,” kata beliau.

Anwar yang juga perdana menteri secara terbuka menyelar sikap segelintir pemimpin parti yang dilihat hanya bersemangat dan lantang ketika berkempen merebut jawatan, namun bertukar culas dalam melaksanakan tugas atau malas menghadiri mesyuarat selepas meraih kemenangan.

“Siapa yang rasa letih, beritahu, minta cuti. Parti ini bukan parti hak mana-mana orang. Parti ini hak rakyat, hak mereka yang mahu bekerja dan berjuang angkat nasib rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan akan disalurkan berdasarkan prestasi cabang, dengan keutamaan diberikan kepada cabang yang aktif dan berjaya menambah keahlian.

“Cabang yang tiada pertambahan ahli, tiada kegiatan, kita tidak akan beri peruntukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.