Petronas runding beli bahan api dengan Rusia, kata Anwar

Petronas runding beli bahan api dengan Rusia, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hubungan negara yang baik dengan Rusia membolehkan Petronas untuk berunding.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan diplomasi awal oleh kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz.
PETALING JAYA:
Petronas akan berunding dengan Rusia untuk membeli bekalan bahan api bagi memastikan ia cukup untuk kegunaan rakyat di negara ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, banyak negara Eropah dan Amerika yang dahulu menyekat Rusia, kini terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan.

“Nasib baik hubungan kita dengan Rusia masih baik. Jadi… pasukan Petronas boleh berunding dengan Rusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa hari ini, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan diplomasi awal kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz.

Menurutnya, langkah itu sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

Beliau berkata, ketegangan geopolitik antara Iran, Amerika Syarikat dan negara Eropah memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara.

“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah selamat tiba di Pengerang. Keperluan penghantaran ke Pengerang ini penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ.

“Kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran, membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata masih terdapat beberapa kapal negara yang berdepan masalah termasuk kelewatan dan kerosakan, namun usaha sedang giat dijalankan untuk menyelesaikannya.

Tambahnya, krisis global itu turut mendorong negara lain mendapatkan kerjasama Malaysia, termasuk Perdana Menteri Australia Anthony Albanese yang mengadakan lawatan ke negara ini baru-baru ini bagi membincangkan bekalan petrol, diesel dan baja.

“Keutamaan kita tetap kepada keperluan domestik. Jika ada lebihan, kita bantu negara sahabat.

“Jika tidak, kita fokus kepada rakyat kita dahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.