Badan doktor pergigian buat laporan polis terhadap blog ‘fitnah’

Badan doktor pergigian buat laporan polis terhadap blog ‘fitnah’

Presiden MDA Dr Chong Zhen Feng memberi amaran bahawa ia akan bertindak terhadap cubaan memfitnah atau mengelirukan.

dental
Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia Dr Chong Zhen Feng membuat laporan polis berhubung dakwaan cubaan memfitnah persatuan dan kepimpinannya.
PETALING JAYA:
Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) membuat laporan polis berhubung beberapa siri catatan blog tanpa nama yang didakwa memburukkan organisasi dan kepimpinannya.

Presidennya, Dr Chong Zhen Feng, berkata laporan itu dibuat selepas catatan blog keenam diterbitkan pada 18 Julai, sehari selepas beliau menghantar nota meminta kerjasama daripada semua ahli untuk memajukan organisasi itu.

“Artikel fitnah keenam telah disiarkan pada 18 Julai, dengan terus melakukan perkara dianggap mengelirukan, memfitnah dan memecahbelahkan komuniti profesional kami.

“Kami telah membuat laporan polis berhubung artikel terbaharu ini dan sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam segera blog berunsur fitnah itu dan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab,” katanya dalam surat kepada ahli yang dilihat oleh FMT.

Chong Zhen Feng.

Chong berkata, serangan itu bukan semata-mata disasarkan kepada individu tetapi direka untuk menghakis kepercayaan terhadap MDA sebagai sebuah institusi.

“Walaupun kami kekal komited terhadap ketelusan dan mengalu-alukan kritikan yang membina, kami tidak akan bertolak ansur dengan kempen berniat jahat, mengelirukan dan maklumat yang salah,” tambahnya.

Antara dakwaan dibuat dalam blog yang dipertikaikan MDA ialah dakwaan persatuan itu sengaja mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di Sabah bagi mengelak penelitian ahli yang berpangkalan di Lembah Klang, menyebabkan hanya 70 daripada 5,000 ahlinya hadir.

MDA sebelum ini menjelaskan tempat itu dipilih untuk memudahkan lebih 500 ahli yang berpangkalan di Sabah dan Sarawak.

Blog itu juga mendakwa presiden telah menjanjikan wang kepada bahagian di Sabah dan Sarawak untuk membeli bangunan tanpa menubuhkan mana-mana jawatankuasa penilaian untuk mengkaji cadangan itu.

MDA juga dituduh menaja sepenuhnya lima ahli jawatankuasa untuk menghadiri Kongres Pergigian Asia Pasifik selama lima hari di Manila pada Mei dengan anggaran kos RM6,000 setiap seorang, di tengah-tengah dakwaan bahawa perjalanan itu dianggap sebagai ‘percutian’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.