
Anwar berkata beliau telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
“Dalam perbualan tersebut, saya merayu kepada kedua-dua pemimpin agar segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk serta membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik.
“Saya menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan perkara ini,” katanya dalam satu hantaran di X.
Kata Anwar, atas kapasiti selaku pengerusi Asean bagi 2025, Malaysia bersedia untuk membantu dan memudahkan proses ini atas semangat perpaduan Asean dan tanggungjawab bersama.
“Saya amat yakin bahawa kekuatan Asean terletak pada solidaritinya, dan keamanan mesti sentiasa menjadi pilihan kolektif kita yang tidak berbelah-bahagi,” katanya.
Terdahulu, tentera Thailand mendakwa seramai sembilan orang awam terbunuh dan 14 lagi cedera dalam serangan artileri yang didakwa dilakukan tentera Kemboja pagi tadi.
Kemboja menafikan dakwaan berkenaan, menegaskan pasukan mereka hanya bertindak balas selepas diserang terlebih dahulu oleh tentera Thailand.
Insiden berlaku selepas Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja, menjadikan konflik sempadan yang berlarutan sejak Mei lalu kini memasuki fasa paling tegang sejak 2011.