
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, penyertaan dalam pakatan itu akan menjejaskan imej Muda sebagai parti sederhana.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berpendapat, Muda mendapat sokongan golongan sederhana hingga kelas atasan yang liberal di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Menurutnya, demografi pengundi itu cenderung menolak kecenderungan konservatif dan regresif yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN), gabungan pembangkang diterajui Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
“Mengaitkan diri dengan PN, Muda berisiko kehilangan penyokong teras ini. Mereka akan lari sebaik saja dengar Muda bekerjasama dengan PN,” katanya kepada FMT.

Azmil memberi amaran kepada Muda supaya tidak bergabung dengan parti bersayap kanan seperti Berjasa, Pejuang pimpinan Mukhriz Mahathir dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diterajui Ibrahim Ali.
“Pada pendapat saya, pakatan ini (Barisan Pembangkang Bersatu) tiada ideologi atau agenda jelas, selain menjatuhkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Ia gabungan tidak stabil dengan parti sangat berbeza antara satu sama lain.
“Penyertaan Muda akan mencalarkan imej dan reputasinya sebagai parti berbilang kaum dan agama.”
Minggu lalu, Bersatu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingginya memberi kuasa kepada Muhyiddin untuk menerajui usaha membentuk Barisan Pembangkang Bersatu menjelang PRU16.
Muhyiddin pada 18 Julai lalu menemui ketua parti pembangkang termasuk Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pejuang, Putra, Parti Kemajuan Malaysia dan Urimai pimpinan P Ramasamy.
PAS tidak hadir atas alasan “komitmen lain” kepimpinan kanan mereka.
Ramasamy menyuarakan sokongan terhadap pakatan itu, tetapi PSM dan Muda dilaporkan belum membuat sebarang keputusan.
Azmil mencadangkan Muda fokus memantapkan kerjasama sedia ada dengan PSM dan peringkat akar umbi “tanpa mengira ganjaran”.
Oh bagaimanapun berpendapat, Muda perlu memilih satu daripada tiga gabungan besar – PN, Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional – kerana setakat ini tiada parti yang muncul ‘kuasa ketiga’ berwibawa untuk mengubah lanskap politik negara.
“Ia akan menjadi perjuangan panjang jika Muda kekal tidak berpakatan.”
Muda bertanding atas tiket PH pada PRU15 (2022). Namun pada September 2023, Pengasas dan satu-satunya Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menarik sokongan parti itu kepada kerajaan perpaduan.
Parti itu turut menandatangani pakatan dengan PSM menjelang enam PRN pada Ogos 2023, tetapi kedua-dua parti itu mengalami kekalahan teruk.