EGM Badan Peguam akan bahas 2 usul berkait kehakiman

EGM Badan Peguam akan bahas 2 usul berkait kehakiman

Mesyuarat agung luar biasa itu juga akan membahas usul saraan minimum yang perlu dibayar kepada pelatih guaman.

malaysian bar
Kuorum EGM di Dewan Matrade, Jalan Sultan Ahmad Shah pada 10 pagi Sabtu ini ditetapkan pada 500 ahli.
KUALA LUMPUR:
Badan Peguam akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sabtu ini untuk membahaskan dua usul utama berhubung kebebasan kehakiman di Malaysia.

Usul pertama bertajuk “Kebebasan Kehakiman” akan dibentangkan Pengerusi Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab.

Kedua, “Usul perdana menteri perlu bertanggungjawab kerana menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman” akan dicadangkan peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, dengan disokong empat peguam lain.

Usul ketiga, “Melaksanakan Kadar Saraan Minimum Adil untuk Pelatih” – akan dikemukakan peguam Goh Cia Yee dan Vince Tan – mendapat sokongan meluas, dengan disokong 190 peguam.

Setiausaha Badan Peguam, Murshidah Mustafa mengedarkan usul itu kepada lebih 24,000 peguam di Semenanjung Malaysia. Kuorum EGM di Dewan Matrade, Jalan Sultan Ahmad Shah pada 10 pagi Sabtu ini ditetapkan pada 500 ahli.

EGM itu diadakan susulan perkembangan dalam beberapa bulan ini.

Pada 15 Mac lalu, Badan Peguam sebulat suara meluluskan dua resolusi dipinda yang mengesahkan pendiriannya terhadap sebarang campur tangan dalam badan kehakiman oleh eksekutif, badan perundangan atau individu lain yang tidak dibenarkan.

Pada 1 Julai lalu, Ezri menggesa EGM itu diadakan susulan kebimbangan terhadap kurang kejelasan berhubung persaraan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.

Pada 14 Julai lalu, sekumpulan besar peguam berhimpun di luar Istana Kehakiman untuk perarakan mempertahankan integriti badan kehakiman. Ezri kemudian menyerahkan memorandum kepada Zamri Misman, ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Memorandum itu menggesa pelantikan pemimpin kehakiman mempunyai integriti yang boleh dibuktikan dan rekod prestasi penghakiman berkualiti, serta kekosongan kehakiman diisi segera bagi mengelakkan kelewatan dalam perbicaraan kes.

Jumaat lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengumumkan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 62, dilantik sebagai ketua hakim negara baharu menggantikan Tengku Maimun.

Ia turut mengumumkan Abu Bakar Jais, 63, akan mengetuai Mahkamah Rayuan, manakala Azizah Nawawi, 63, dilantik hakim besar Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja, memperkenankan pelantikan itu mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga hakim itu akan mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan mereka di Istana Negara 28 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.