Suara Barisan Pembangkang Bersatu terhad di luar Parlimen, kata penganalisis

Suara Barisan Pembangkang Bersatu terhad di luar Parlimen, kata penganalisis

Syaza Shukri berkata parti yang berbincang dengan Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu tidak punyai kerusi di Dewan Rakyat melainkan Muda.

dewan rakyat pembangkang
PN punyai 68 ahli Dewan Rakyat manakala Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi wakil tunggal Muda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penubuhan ‘Barisan Pembangkang Bersatu’ mungkin boleh membantu menambah kekuatan Perikatan Nasional (PN) meraih sokongan bukan Melayu tetapi tidak menambah suara dalam Parlimen, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata ini kerana parti yang berbincang dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu tidak mempunyai kerusi di Dewan Rakyat melainkan Muda.

PN mempunyai 68 ahli Dewan Rakyat manakala Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi wakil tunggal Muda.

“Mereka (parti lain) boleh bersuara di luar Parlimen dan menyokong PN tapi mereka tiada mandat rakyat,” katanya kepada FMT.

Justeru itu, Syaza menyifatkan cadangan penubuhan blok berkenaan sebagai usaha menguatkan PN di luar Parlimen, termasuk menonjolkan Muhyiddin serta partinya meraih sokongan bukan Melayu kerana bimbang kecairan undi pengundi tradisi.

“Mungkin Bersatu hendak dilihat lebih progresif dan ke hadapan dengan parti-parti bukan Melayu yang dilihat progresif.

“Tapi parti lain-lain ini dilihat kurang sokongan akar umbi, tak pasti kalau boleh beri nilai tambah… mungkin dari segi naratif sahaja mereka bersatu,” katanya.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata parti itu bersetuju dengan cadangan penubuhan blok pembangkang dengan Muhyiddin mempelopori usaha menjalin persefahaman dengan parti di luar blok kerajaan.

Susulan itu, tiga hari kemudiannya, Muhyiddin dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bertemu dengan parti selain Gerakan serta MIPP yang telah berada dalam PN.

Pertemuan itu antaranya dihadiri pemimpin dari Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pejuang dan Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP),

Muhyiddin berkata barisan rentas parti itu akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Sementara itu, dua penganalisis iaitu Azmi Hassan dan Syahruddin Awang Ahmad pula mendakwa ketiadaan wakil PAS mungkin langkah strategik untuk melancarkan rundingan antara rentas parti.

Azmi, Felo Majlis Professor Negara berkata ‘ketiadaan’ itu mungkin bagi mengumpulkan parti-parti yang selama ini tidak bersetuju dengan pandangan PAS untuk turut serta dalam rundingan rentas parti.

“Itu strateginya dan jika tidak berjaya mungkin tidak mengapa sekurang-kurangnya mereka boleh gambarkan perbincangan telah disertai parti-parti kecil lain,” katanya.

Syahruddin pula berkata ketiadaan PAS mungkin disebabkan parti itu sudah merasakan kedudukan cukup kukuh serta melihat tiada keperluan menyertai gabungan membabitkan parti dengan ideologi berbeza seperti PSM dan MUDA.

“PAS juga mungkin lebih selesa bergerak dalam blok Islam-Melayu yang lebih homogen, berbanding terlibat dalam gabungan lebih luas mungkin memerlukan kompromi ideologi,” katanya.

Untuk rekod, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan jemputan ke perjumpaan itu telah diserah kepada Presiden Hadi Awang.

Namun Hadi dan Tuan Ibrahim didakwa tidak dapat menghadirinya kerana ke program yang telah dirancang lebih awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.