SMM selar gambar tular ‘bermotif politik’, ancam tindakan undang-undang

SMM selar gambar tular ‘bermotif politik’, ancam tindakan undang-undang

Sabah Mineral Management menyifatkan ia sebahagian ‘kempen untuk merosakkan nama syarikat dan pegawainya’.

smm
Sabah Mineral Management Sdn Bhd menyangkal sebarang salah laku susulan gambar tular baru-baru ini, yang ditegaskan diambil ketika lawatan kerja ke Indonesia pada Ogos 2024.
PETALING JAYA:
Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengancam tindakan undang-undang terhadap saluran media dan pihak lain berhubung penerbitan dakwaan “palsu, mengelirukan dan memfitnah” berpunca daripada gambar tular melibatkan pegawainya.

Dalam kenyataan mengenai gambar itu, yang memaparkan CEO kini Natasha Sim bersama beberapa pegawai, agensi milik kerajaan negeri itu berkata: “SMM secara tegas menafikan terjadi sebarang salah laku.”

Agensi itu menyifatkan kontroversi tersebut ‘bermotif politik’ dan ‘sebahagian daripada kempen lebih meluas untuk merosakkan nama syarikat dan pegawainya’.

“Sekiranya dakwaan tidak berasas ini terus tersebar, kami tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang, termasuk terhadap saluran media kerana penipuan dan pembohongan berniat jahat,” menurut kenyataan itu.

SMM berkata, dakwaan berkenaan melibatkan saman yang masih berlangsung melibatkan CEO terdahulu, Jonith Enggihon, dan ahli perniagaan Albert Tai. Saman itu melibatkan fraud, pelanggaran tanggungjawab fidusiari, mengganggu dokumen rasmi dan konspirasi untuk menggugat.

“Gelombang dakwaan umum yang kini berlaku nampaknya mengitar semula isu yang sudahpun berada di bawah penelitian kehakiman,” menurut kenyataan SMM itu.

Agensi itu menjelaskan, gambar berkenaan diambil ketika lawatan kerja pada Ogos 2024 sebagai sebahagian perbincangan pelaburan langsung asing (FDI) dengan sebuah konglomerat perlombongan di Indonesia.

Lawatan itu susulan kelulusan lembaga pengarah pada Februari 2024, dan diketuai Sim yang ketika itu menjadi ketua pegawai strategi.

Menurut SMM, lawatan pertama ke pangkalan konglomerat berkenaan berlaku pada Mac 2023 dan dimulakan Jonith sebagai sebahagian langkah penilaian wajar.

Perkongsian itu dicadangkan kepada lembaga pengarah secara rasmi pada Disember 2023.

Pada 18 Julai, Malaysiakini melaporkan gambar yang kini tular itu ‘mencetuskan kemelut politik baharu’.

Selain Sim, gambar itu turut memaparkan Setiausaha SMM Emily Chong dan taikun balak Sabah Elbert Lim bersebelahan sebuah jet peribadi.

Portal itu memetik Adun Warisan Justin Wong mendakwa gambar itu mencetuskan skandal baharu menyelubungi SMM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.