
Menurut Daily Express, Setiausaha Pemuda GRS Rafie Robert berkata, kenyataan Timbalan Ketua Penerangan Warisan Justin Wong itu menunjukkan kegagalan parti itu memahami proses sebenar bagi menjamin hak perlembagaan negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, GRS selaku kerajaan pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor mengambil pendekatan bertanggungjawab dengan meneruskan rundingan bersama Putrajaya, di samping menyokong tindakan undang-undang oleh Sabah Law Society (SLS).
Menurutnya, tumpuan kerajaan negeri adalah untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada keputusan mahkamah itu, berbeza dengan pentadbiran Warisan selama dua tahun yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan nyata berhubung isu tuntutan hak 40% itu.
Tegas Rafie, GRS komited menuntut hak-hak Sabah secara konsisten dan matang, bukannya bermain politik populis. Rakyat mahukan hasil, bukan pertikaman lidah politik, tambahnya.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak menyalahi undang-undang apabila gagal menyerahkan hak 40% hasil bersih persekutuan dari Sabah selama hampir lima dekad.
Keputusan itu menyusuli permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS pada 2022. Persatuan itu mendakwa kerajaan persekutuan melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan apabila gagal melaksanakan kajian semula hasil yang wajib dibuat setiap lima tahun sejak 1974.
Formula perkongsian hasil ini hangat diperdebatkan selama berdekad-dekad. Ahli politik Sabah sebelum ini lantang menggesa kerajaan persekutuan menghormati tuntutan hak negeri itu, seperti yang dipersetujui pada 1963, iaitu 40% daripada hasil bersih yang dikutip dari negeri itu.
Berikutan keputusan itu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan pihaknya akan meneliti penghakiman bertulis terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
Teruskan bersatu, PBS beritahu ahli menjelang PRN
Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru ahlinya agar berdiri teguh bersama dan tidak mudah terpedaya dengan tohmahan berbaur politik terhadap kepimpinan parti menjelang PRN 29 Nov ini.
Daily Express melaporkan Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai berkata, tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadap pemangku presiden, Dr Joachim Gunsalam dan timbalan presiden, Jahid Jahim baru-baru ini bertujuan menggugat persiapan parti untuk menghadapi PRN.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu telahpun memberi penjelasan dan ahli serta penyokong parti terus kental menyokong kepimpinan yang berpegang pada prinsip kejujuran, akauntabiliti dan ketelusan.
Joniston, yang juga Adun Kiulu menegaskan, PBS tetap fokus berkhidmat untuk rakyat dan memelihara amanah mereka melalui integriti serta tadbir urus baik di bawah pentadbiran GRS.