
Syarikat kerajaan negeri itu juga memutuskan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan.
“Tindakan ini jelas menunjukkan penerbitan itu bersifat berat sebelah, tdak adil, serta menimbulkan persepsi ia satu usaha dirancang untuk menjejaskan reputasi dan nama baik SMM termasuk barisan pengarah dan pegawainya,” katanya.
Agensi itu turut berkata, MalaysiaNow gagal mengesahkan dakwaannya dengan SMM atau Ketua Pegawai Eksekutif SMM Natasha Sim sebelum menerbitkan artikel yang disifatkan pelanggaran serius terhadap etika kewartawanan.
SMM menegaskan, mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengeluarkan lesen mencari gali, yang sebenarnya bawah bidang kuasa Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah.
Syarikat itu turut merujuk kepada kenyataan Pengarah JTU Sabah Bernard Liew Chau Min yang mengesahkan tiada lesen berkaitan mineral pernah dikeluarkan kepada Bumi Suria.
“Peranan SMM hanya terhad kepada mengeluarkan surat kebenaran bersyarat untuk memohon lesen,” katanya sambil menambah surat sedemikian hanya dikeluarkan selepas Lembaga Pengarah agensi berkenaan bersidang dan menilai permohonan.
“Surat ini tidak memberikan atau menganugerahkan sebarang lesen. Pemohon yang berminat perlu mengemukakan dokumen lengkap dan menjalani proses semakan sewajarnya oleh SMM sebelum agensi kerajaan lain membuat semakan lanjut,” kata SMM.
Agensi itu berkata, dalam menjalankan fungsinya, SMM telah mempertimbangkan permohonan Bumi Suria dan mengeluarkan kelulusan bersyarat bagi permohonannya.
“Namun Bumi Suria tidak meneruskan proses dengan mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan secara rasmi,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pada 24 Mac 2025, SMM telah mengeluarkan surat rasmi untuk membatalkan kebenaran memohon tersebut.
“Fakta ini dengan sengaja tidak dimasukkan oleh MalaysiaNow,” dakwa agensi berkenaan.
“MalaysiaNow juga secara salah telah menggunakan imej Natasha dengan meletakkan gambar dan namanya pada rakaman audio yang bukan suaranya dan tiada kaitan dengannya.
“Tindakan ini adalah satu salah gambaran disengajakan. MalaysiaNow gagal, enggan dan cuai untuk mengesahkan rakaman itu dengan pihak SMM atau Sim,” dakwa kenyataan itu lagi.
SMM turut memberi amaran kepada media lain supaya tidak mengulangi dakwaan itu yang palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.
Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan SMM telah memberikan lesen penerokaan perlombongan arang batu kepada Bumi Suria, sebuah syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.