Kontroversi lesen perlombongan mineral: Satu lagi kekecohan tak bertempat

Kontroversi lesen perlombongan mineral: Satu lagi kekecohan tak bertempat

Bagi mewujudkan perbincangan bermakna, laporan media mestilah berasaskan fakta bukannya andaian.

Kinabalu Tower

Sepanjang minggu lalu, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), entiti milik kerajaan negeri yang bertanggungjawab menyelaras tadbir urus sektor mineral di Sabah, telah menjadi mangsa laporan media yang boleh dipersoalkan.

Sebuah portal berita mendakwa SMM telah menganugerahkan lesen penerokaan mineral kepada sebuah syarikat dikenali Bumi Suria Sdn Bhd, yang kononnya mempunyai kaitan dengan seorang ahli perniagaan berprofil tinggi.

Portal itu juga mendakwa lesen itu membabitkan kawasan tanah yang amat luas — seluas 70,000 hektar.

Sebuah video disebarkan di media sosial pula menyelitkan rakaman audio seolah-olah diperoleh secara rahsia daripada mesyuarat lembaga meluluskan lesen itu. Muzik latar dramatik dalam video berkenaan cuba mencetuskan suasana tegang.

Namun ada satu masalah besar — SMM bukanlah pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen perlombongan dan tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Mengikut Ordinan Perlombongan Sabah 1960, kuasa itu diberikan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri.

Peranan SMM hanyalah sebagai ‘tapisan awal’, syarikat itu mengeluarkan surat kebenaran bersyarat kepada pemohon bagi membolehkan mereka memohon lesen daripada JTU.

Ternyata benar apabila Khamis lalu, JTU Sabah mengesahkan tiada lesen telah dikeluarkan kepada Bumi Suria. Keesokannya, SMM pula menyatakan kelulusan awal diberikan juga telah ditarik balik.

Semua ini boleh diketahui lebih awal sekiranya wartawan menulis laporan itu membuat semakan sewajarnya sebelum menerbitkan berita. Hanya mereka yang boleh menjelaskan mengapa itu tidak dilakukan.

Mengenai rakaman audio mesyuarat lembaga pengarah — yang didakwa mengandungi suara Ketua Menteri Hajiji Noor, yang juga pengerusi SMM — rakaman itu sebenarnya hanya menunjukkan perbincangan mengenai sama ada syarikat berkenaan layak menerima kelulusan bersyarat.

Hanya mereka yang hadir dalam mesyuarat itu boleh mengesahkan sama ada itu sememangnya suara Hajiji dan rakaman itu menggambarkan keseluruhan konteks sebenar apa yang dikatakan.

Dalam klip itu, ‘Hajiji’ dilihat meringkaskan kelebihan cadangan Bumi Suria, yang banyak bergantung kepada rekod prestasi rakan kongsinya dari Indonesia dalam bidang berkaitan.

Apabila seorang dalam mesyuarat membangkitkan keluasan tanah yang dimohon terlalu besar, ‘Hajiji’ dilihat bersetuju tetapi menyatakan perkara itu boleh ditangani dalam proses kemudian.

Hanya orang yang tidak bijak akan menyimpulkan ketua eksekutif negeri itu campur tangan secara salah dalam proses permohonan lesen.

Sabah kaya dengan hasil mineral yang jika diurus dengan betul, mampu membentuk hala tuju ekonomi negeri untuk puluhan tahun akan datang.

Oleh itu, pengawasan strategik pada peringkat tertinggi adalah sesuatu yang wajar.

Adalah tepat jika ketua menteri sebagai pemegang amanah kepada visi pembangunan negeri, menunjukkan minat dalam memastikan keputusan agensi milik kerajaan seperti SMM selaras dengan keutamaan negeri.

Dan ‘Hajiji’ dalam klip itu turut memuji kehadiran kepimpinan tertinggi Bumi Suria dalam mesyuarat sebagai bukti kesungguhan mereka.

SMM kemudian mengesahkan lembaga telah mengenakan beberapa syarat—menunjukkan sikap teliti dalam pengurusan sumber mineral, bukannya kelalaian tugas seperti cuba digambarkan sesetengah laporan.

Hakikatnya, Bumi Suria tidak teruskan dengan permohonannya itu, lalu SMM membatalkan kelulusan bersyarat itu.

Dengan terjawapnya segala persoalan, kekecohan sia-sia ini bakal reda.

Media perlu sedar: untuk mencetuskan perbincangan awam yang bermakna, laporan mesti bersandarkan fakta — bukan andaian.

 

Idris Mokhtar adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.