Puad nafi Umno-PN bincang tubuh kerajaan

Puad nafi Umno-PN bincang tubuh kerajaan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata parti itu tidak akan 'tidak akan masuk lubang biawak kali kedua'.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi berkata beliau akan menjadi orang pertama yang membantah cadangan untuk Umno membentuk kerajaan baharu bersama PN.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menolak dakwaan bahawa wakil parti itu bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) bagi berbincang untuk menubuhkan kerajaan.

Sebaliknya, Puad berkata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri yang mengambil inisiatif berjumpa orang perantaraan Umno dan menawarkan jawatan perdana menteri jika parti itu bersetuju dengan rancangan kerajaan ‘tebuk atap’.

“Tetapi idea itu tidak pernah dibawa dan dibincang dalam MKT. Kalau ia dibawa ke MKT sekali pun sudah pasti saya orang pertama yang akan bercakap dan membantah dengan sekeras kerasnya,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mengesahkan terdapat wakil Umno bertemu dengan pimpinan PN secara senyap-senyap untuk terlibat dengan gerakan rentas parti yang digerakkan oleh Pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada media selepas muktamar Pemuda PAS Selangor semalam, Tuan Ibrahim juga dilaporkan menjemput mana-mana pemimpin Umno yang tidak berpuas hati untuk bersama atau menyokong PN.

Bagaimanapun, Puad menafikan perkara itu dan berkata tidak akan terjebak sekali lagi dalam pakatan dengan PN.

“Tuan Ibrahim amat mengetahui Umno tidak akan masuk lubang biawak kali kedua. Semua itu hanya untuk memerangkap Umno.

“Kerjasama Umno-PAS apatah lagi dengan Bersatu hanya bermimpi di siang hari,” katanya.

Kali terakhir Umno, Bersatu dan PAS bekerjasama adalah apabila mereka membentuk kerajaan pada Mac 2020 susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.