Bukan DAP cadang, Loke gesa jangan polemik kajian pilihan raya datuk bandar

Bukan DAP cadang, Loke gesa jangan polemik kajian pilihan raya datuk bandar

Setiausaha agung DAP berkata kajian perlu dilihat sebagai usaha meningkatkan tahap akauntabiliti DBKL bukan isu politik yang wajar dipolemikkan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan.
KUALA LUMPUR:
Loke Siew Fook berkata cadangan untuk mengkaji pelaksanaan pemilihan datuk bandar Kuala Lumpur bukan berasal daripada DAP sebaliknya dibangkitkan pelbagai pihak sebelum ini.

Setiausaha agung DAP berkata, kajian dijalankan itu perlu dilihat sebagai usaha meningkatkan tahap akauntabiliti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bukannya isu politik yang wajar dipolemikkan.

Katanya, DBKL berbeza dengan majlis perbandaran negeri lain yang berada bawah kerajaan negeri dipilih rakyat menyebabkan perlu usaha ke arah pendemokrasian.

“Jadi, ini hanya satu kajian yang perlu dilakukan untuk melihat kebolehlaksanaannya, tak perlulah mana-mana pihak cuba polemikkan.

“Perkara ini tidak perlu diperbesar-besarkan kerana belum pun dilaksanakan, ia hanya setakat satu kajian sahaja di peringkat DBKL,” kata menteri pengangkutan dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Loke mengulas pendirian DAP berhubung kajian pelaksanaan pilihan raya datuk bandar yang sedang dilaksanakan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menegaskan kajian perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat berhubung cadangan mengadakan pilihan raya itu susulan bantahan beberapa pihak.

Beliau turut mempersoalkan kebimbangan segelintir pihak terhadap proses kajian yang menurutnya penting bagi memastikan sesuatu dasar digubal berdasarkan fakta dan data yang tepat.

Sementara itu, Loke berkata sebelum ini bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin, dalam satu forum terbuka turut menyatakan Kuala Lumpur sepatutnya mengadakan pemilihan datuk bandar bagi meningkatkan tahap akauntabiliti.

“Ramai Ahli Parlimen dekat Kuala Lumpur termasuk daripada PKR iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad pun menyokong usaha ke arah pendemokrasian DBKL,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.