Pertikaian kontrak di WhatsApp, wartawan veteran diberi pampasan enam angka

Pertikaian kontrak di WhatsApp, wartawan veteran diberi pampasan enam angka

Keputusan itu menekankan perjanjian digital boleh dikuat kuasa sekali gus menjamin pampasan kepada Frankie D’Cruz.

Mahkamah Sesyen memerintahkan Siva Kumar Ganapathy membayar lebih RM200,000 kepada Frankie D’Cruz kerana gagal menunaikan janji berkaitan pendapatan sebagai editor dan bayaran retainer tertunggak.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen memerintahkan Siva Kumar Ganapathy, yang mendakwa menerima mandat daripada kerajaan Sarawak untuk melancarkan portal berita PRN pad 2021, membayar lebih RM200,000 kepada wartawan Frankie D’Cruz kerana gagal menunaikan janji berkaitan pendapatan sebagai editor dan bayaran retainer tertunggak.

Jumlah itu meliputi pampasan bagi empat bulan pendapatan sebagai editor yang tidak diterima dan bayaran retainer belum dijelaskan, menekankan kekuatan mengikat kontrak pekerjaan yang dibuat melalui WhatsApp.

Hakim Halilah Suboh membuat keputusan itu pada 17 Julai, membenarkan semua tuntutan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Hakim menerima satu kontrak yang sah telah terbentuk melalui WhatsApp antara Siva Kumar, yang mendakwa mengetuai Sarawakmirror.com, dan D’Cruz bagi jawatan editor menjelang PRN Sarawak
2021.

Beliau turut mengambil kira D’Cruz telah menolak tawaran daripada sebuah syarikat media Kanada berdasarkan jaminan diberikan defendan.

Mahkamah juga mendapati Siva Kumar secara jelas telah meletakkan syarat pelantikan D’Cruz sebagai editor Sarawakmirror.com bergantung kepada pemilikan ekuiti sebanyak 3% dalam Double Solaris Sdn. Bhd.

Berdasarkan jaminan tersebut, D’Cruz telah membayar RM39,585 untuk mendapatkan pemilikan saham itu namun defendan kemudian mungkir janji terhadap perjanjian ekuiti dan jawatan dijanjikan.

Siva Kumar turut melantik D’Cruz sebagai perunding projek di bawah syarikatnya, Asia PR Sdn Bhd, melalui surat bertarikh 22 Ogos 2019.

Mahkamah mengarahkan Siva Kumar membayar RM129,640 sebagai pampasan bagi empat bulan pendapatan editor yang hilang (dikira pada kadar RM32,410 sebulan dari Februari hingga Mei 2020), serta RM21,000 untuk bayaran retainer tertunggak bagi kerja dilakukan antara Oktober 2019 hingga Januari 2020.

Hakim turut menetapkan faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh, bayaran kos guaman sebanyak RM20,000 kepada D’Cruz, serta pembayaran semua kos mahkamah mengikut skala dan amalan biasa.

Peguam D’Cruz, Haaziq Pillay, menyambut baik keputusan itu sebagai pengiktirafan profesional media tidak akan dibiarkan tanpa pampasan atas kerja dan komitmen yang dibuat dengan niat baik.

Beliau berkata tuntutan itu menekankan komunikasi digital dalam membentuk kontrak yang mengikat di bawah Seksyen 10(1) Akta Kontrak 1950.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.