
Peguam SN Nair berkata, writ tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dan keseluruhan proses itu dipantau oleh penolong kanan pendaftar atau majistret yang hadir di rumah pemimpin Umno itu.
“Kenyataan awam yang dibuat baru-baru ini Jamal dan peguamnya berhubung pelaksanaan writ tersebut telah menimbulkan gambaran yang mengelirukan, seolah-olah wujud penyalahgunaan kuasa, ugutan serta ketidakpatuhan prosedur,” katanya dalam kenyataan.
Pada Selasa, Jamal dan peguamnya mempersoalkan pelaksanaan writ tersebut, serta kehadiran polis di rumahnya.
Nair menjelaskan, pihak polis berada di lokasi bagi menjaga ketenteraman awam, mengelakkan sebarang halangan dan memastikan keselamatan pegawai mahkamah.
“Writ tersebut sendiri membenarkan bantuan polis sekiranya perlu, dan keperluan tersebut hendaklah dinilai berdasarkan keadaan di lapangan, khususnya apabila kemasukan secara paksa dijangkakan, penghutang penghakiman tidak berada di premis, dan terdapat sejarah ketidakpatuhan yang diketahui.
“Berhubung kemasukan secara paksa, fakta adalah jelas. Penghutang penghakiman tidak berada di premis, tiada sebarang respons diberikan, dan writ tersebut membenarkan kemasukan dalam keadaan sedemikian,” katanya.
Awal minggu ini, sebanyak 14 barangan telah disita dari rumah Jamal dan akan dilelong bagi memperoleh baki RM66,061.65 yang tertunggak dalam kes saman fitnah Kok.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi lebih RM300,000 kepada Kok, beserta kos.
Jamal telah mendepositkan RM300,000 ke dalam akaun pemegang taruh sementara menunggu keputusan rayuannya, namun sejumlah RM66,061.65 yang merangkumi kos dan faedah masih belum dilunaskan.
Susulan itu, Kok memfailkan writ penyitaan dan penjualan untuk menuntut baki tersebut.
Pegawai mahkamah tiba di kediaman Jamal sekitar 11.40 pagi pada 28 Jan untuk melaksanakan penyitaan tersebut.
Selepas tiada respons diterima di pintu utama, penolong kanan pendaftar mengarahkan bailif membuka pintu pagar untuk membolehkan mereka masuk.
Para bailif berada di premis tersebut kira-kira sejam sebelum beredar pada 12.40 tengah hari.