Majlis Olimpik umum platform galak penyertaan swasta, kurangkan bergantung pada kerajaan

Majlis Olimpik umum platform galak penyertaan swasta, kurangkan bergantung pada kerajaan

Presiden Norza Zakaria berkata Dana Amanah Sukan dapat persetujuan sebulat suara majlis eksekutif MOM dan akan dibawa ke KBS.

norza
Presiden Majlis Olimpik Malaysia Mohamad Norza Zakaria berkata dana itu akan menjadi platform pelaburan jangka panjang yang menggalakkan penyertaan sektor swasta bagi meningkatkan pencapaian sukan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan rancangan menubuhkan suatu mekanisme kewangan mampan iaitu Dana Amanah Sukan, bagi menyokong pembangunan sukan dan mengurangkan kebergantungan pada dana kerajaan.

Dilaporkan mampu mengubah lanskap pembiayaan sukan negara, Presiden Norza Zakaria berkata dana itu akan menjadi platform pelaburan jangka panjang yang menggalakkan penyertaan sektor swasta dan dermawan individu bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada persatuan sukan, atlet serta jurulatih.

Menurutnya, usaha ini pelengkap kepada usaha kerajaan melalui Majlis Sukan Negara dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita mahu bentangkan ini dan kita akan bawa ke peringkat tertinggi KBS melalui Menteri Hannah Yeoh,” katanya, lapor Bernama.

Norza menerangkan dana itu akan ditadbir secara bebas tanpa campur tangan politik, dengan pengawasan badan bebas terdiri daripada wakil MOM serta tokoh industri.

Penyertaan kerajaan masih dalam perbincangan, katanya, menjelaskan penglibatan kerajaan penting dalam memantau operasi dana, termasuk mempertimbangkan pemberian insentif cukai kepada penyumbang.

Cadangan penubuhan dana itu mendapat persetujuan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-213 hari ini.

Penubuhan dana itu dijangka dapat direalisasikan selewat-lewatnya suku pertama tahun depan atau lebih awal menjelang hujung tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.