
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, keterangan lima individu terbabit diambil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam penjagaan kanak-kanak.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 11.57 pagi apabila dua beradik warga tempatan yang ditemukan di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota itu dibawa oleh orang awam ke Balai Polis Bangi untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan baik dan telah keluar dari rumah pengasuh tanpa pengetahuan semasa pengasuh sedang tidur.
“Mereka ditemukan oleh orang awam tidak jauh dari kawasan perumahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Naazron berkata, kedua-dua kanak-kanak itu diserahkan semula kepada ibu bapa mereka yang hadir ke Balai Polis Bangi kira-kira 2 petang tadi.