
Pasukan petugas khas Kementerian Pengangkutan itu belum mengesahkan sama ada berlaku kegagalan sistem brek, seperti didakwa oleh pemandunya sebelum ini.
“Penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bahawa bas telah dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan tersebut.
“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin dan menyebabkan kecederaan parah serta kematian penumpang
“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal. Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek namun ia boleh berpunca daripada penggunaan berlebihan atau tidak sesuai,” menurut laporan itu.
Menurut laporan itu juga, turutan kejadian direkodkan kamera papan pemuka dan kesan fizikal di lokasi, bas itu tergelincir sebelum terbalik.
Katanya, bas terbabit berkemungkinan berkelajuan 117.6 kmj ketika kejadian, iaitu hampir dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan iaitu 60kmj.
“Siasatan awal mengenal pasti beberapa faktor penyumbang yang saling berkait, yang telah meningkatkan risiko kejadian serta tahap keparahan akibatnya.
“Faktor-faktor ini mencerminkan kelemahan sistemik merentas aspek reka bentuk jalan, spesifikasi kenderaan, pematuhan industri dan keberkesanan pengawasan.
“Kejadian ini bukan hanya berpunca daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan tetapi juga kelemahan struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang tidak efektif,” katanya.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan penemuan tambahan akan diperincikan dalam laporan akhir nahas itu.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak melanggar bahagian belakang Perodua Alza, sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.