KBS utama tambah baik fasiliti sukan luar bandar

KBS utama tambah baik fasiliti sukan luar bandar

Timbalan Menteri Adam Adli berkata keperluan fasiliti sukan luar bandar berbeza mengikut lokasi dan perlu perancangan agar dapat dilaksana sebaik mungkin.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dalam program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara Jom) 2.0 zon utara di Kolej Keda Sik. (Gambar Facebook)
SIK:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan fasiliti sukan di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri, Adam Adli, berkata keperluan fasiliti sukan di kawasan luar bandar berbeza mengikut lokasi dan memerlukan perancangan agar dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jika ada fasiliti sukan yang perlu pembaikan, ia tidak boleh selesai dalam satu malam jadi kita mula gerak kerja dari awal supaya kita dapat ambil tindakan.

“Apa yang KBS mampu selesaikan di bawah kapasiti KBS, kita akan selesaikan dan jika membabitkan kementerian lain kita akan panjangkan hasrat itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog awam program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara Jom) 2.0 zon utara di Kolej Keda Sik.

Sementara itu, beliau berkata program Kembara Jom zon utara yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Desa Keda Sungai Senam memberikan pengalaman baharu kepada lebih 90 peserta.

“Program ini umpama serampang dua mata, pertama memberi pengalaman kepada belia untuk melibatkan diri dengan persatuan pelajar dan belia serta melihat sendiri realiti kehidupan luar bandar. Kedua, ia membolehkan KBS melihat keperluan mendesak di kawasan berkenaan.

“Program ini dapat menguji ketahanan semua peserta menerusi konsep anak angkat yang bermalam di rumah keluarga angkat masing-masing,” katanya.

Adam berkata, program sama akan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti di Perak, Sabah, Sarawak, Pahang dan Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.