Kawaguchi diserah surat tuntutan hutang tunggakan gaji hampir RM3 juta

Kawaguchi diserah surat tuntutan hutang tunggakan gaji hampir RM3 juta

Peguam mewakili 249 bekas pekerja syarikat beri amaran tindakan mahkamah jika bayaran tertunggak tidak dijelaskan menjelang 21 Julai.

Foreign workers protesting Kawaguchi
Pekerja Kawaguchi Manufacturing mengadakan protes aman di kilang syarikat itu di Pelabuhan Klang pada Disember tahun lepas.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat pembekal komponen plastik diserahkan surat tuntutan berhubung tunggakan gaji bernilai hampir RM3 juta yang terhutang kepada 249 bekas pekerjanya.

Peguam daripada Louis Liaw Chambers berkata, Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd, yang kini dikenali sebagai Alpha Integral Sdn Bhd, gagal mematuhi perjanjian penyelesaian yang dipersetujui Mahkamah Buruh pada Disember 2024.

Persetujuan itu dicapai selepas bekas pekerja terbabit mengadakan protes aman di kilang syarikat itu di Pelabuhan Klang.

Menurut perjanjian, syarikat sepatutnya membayar pekerja dalam sembilan ansuran, bermula 15 Jan, dengan baki bayaran dijelaskan setiap bulan sehingga November 2025.

Syarikat itu telah membuat bayaran pertama, namun gagal menjelaskan empat bayaran yang dijadualkan pada April, Mei, Jun dan Julai.

“Secara khususnya, pihak tuan telah gagal, enggan dan/atau abai untuk membayar bayaran ansuran yang ditetapkan kepada anak guam kami, yang sepatutnya dijelaskan pada 15 April, 15 Mei, 15 Jun dan 15 Julai, selaras dengan perjanjian penyelesaian dan perintah Mahkamah Buruh,” menurut surat yang dilihat oleh FMT.

Syarikat itu diberi tempoh hingga 21 Julai untuk menjelaskan bayaran tertunggak itu. Peguam berkata, jika gagal, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang, termasuk menukar award Mahkamah Buruh kepada penghakiman mahkamah, tindakan penguatkuasaan seperti prosiding penggulungan syarikat dan mengenakan caj faedah 8% setahun.

Peguam juga memberi amaran bahawa pengarah dan pengurus syarikat boleh didenda di bawah Akta Kerja kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Buruh.

Tambah mereka, pertukaran nama syarikat daripada Kawaguchi kepada Alpha Integral tidak melepaskan syarikat itu daripada obligasi undang-undangnya.

Alpha Integral tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan FMT untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.