
Selasa lalu, cabang perladangan Lembaga Tabung Haji itu menamatkan kontrak Zainurin selepas mendakwa ada bayaran tidak sah sebanyak RM5.1 juta kepada pekerja ladang.
Melalui peguamnya, Marwan Abdullah, Zainurin mendakwa jumlah itu terdiri daripada bayaran ex gratia dan tunggakan gaji yang dibuat ‘dalam bidang kuasa dan adalah wajar’.
Beliau mendakwa jumlah sebenar adalah RM3.63 juta, bukan RM5.1 juta seperti didakwa.
“Anak guam kami menegaskan beliau tidak bersalah. Kami ingin menyatakan kekecewaan anak guam kami terhadap keputusan itu kerana beliau tidak menerima sebarang keuntungan peribadi daripada bayaran tersebut.
“Tujuan pembayaran itu adalah untuk keharmonian industri dengan memberi layanan adil dan saksama antara pekerja di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak, yang secara kolektif telah menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai tertinggi dalam tempoh 10 tahun iaitu pada tahun 2024,” kata Marwan dalam kenyataan.
Marwan berkata, jika rayuan terhadap penamatan tidak sah itu ditolak, Zainurin berhak mencabar penamatan tersebut melalui saluran perundangan.
Ini termasuk aduan pemecatan tidak adil di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bagi membersihkan reputasinya.
Marwan berkata, Zainurin juga berjaya memulihkan kedudukan TH Plantations dengan mencatat keuntungan terkumpul sebelum cukai sebanyak RM437.9 juta sejak beliau mengambil alih sebagai CEO pada Oktober 2021.
Zainurin dan ketua pegawai kewangan TH Plantations, Marliyana Omar, menerima surat tunjuk sebab bulan lalu berhubung dakwaan bayaran tidak sah RM5.1 juta kepada pekerja ladang.
Zainurin diarahkan bercuti (garden leave) manakala Marliyana memilih meletak jawatan.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TH Plantations mengesahkan menerima surat rayuan Zainurin.
Syarikat itu berkata ia akan meneliti kandungan surat berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.