Hina Islam, pereka grafik mengaku tak salah

Hina Islam, pereka grafik mengaku tak salah

Yeo Li Yin didakwa membuat hantaran komunikasi jelik pada Jun 2023.

Yeo Li Yin
Mahkamah Sesyen KL benar tertuduh berusia 47 tahun diikat jamin RM7,000 dengan sebutan semula kes pada 8 Sept ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menghina Islam, pada Jun 2023.

Yeo Li Yin, 47, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter (kini X) dengan nama profil ‘Liyin Yeo’, pada 19 Jun 2023.

Hantaran itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, pada 2.15 petang, 22 Jun 2023.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Yeo memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menjaga bapanya berusia 80 tahun.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Sept ini sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.