Fatwa dikeluarkan Selangor lalui proses teliti, titah Sultan Sharafuddin

Fatwa dikeluarkan Selangor lalui proses teliti, titah Sultan Sharafuddin

Sultan Selangor bertitah ketelitian dilakukan dengan ambil kira pandangan pelbagai pihak terutama jawatankuasa fatwa negeri dan pakar hukum syarak.

Jika Sultan Sharafuddin Idris Shah beri perkenan untuk pewartaan sesuatu fatwa, barulah ia akan dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah setiap fatwa dikeluarkan negeri ini melalui proses teratur dan teliti.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, Sultan Sharafuddin juga bertitah ketelitian itu dilakukan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terutama daripada jawatankuasa fatwa negeri dan pakar hukum syarak.

Hantaran itu turut berkongsi prosedur bagi mengeluarkan sesuatu fatwa iaitu fatwa diputuskan mesti melalui proses pengumpulan data yang lengkap, maklumat menyeluruh serta gambaran tepat tentang sesuatu isu sebelum ia dibincangkan.

Satu muzakarah pakar juga akan diadakan bagi merungkai sesuatu isu secara tuntas, dihadiri alim ulama, ahli akademik serta pihak berkaitan isu tersebut selain penglibatan pegawai badan berautoriti.

“Sekiranya belum mendapat resolusi mantap, satu Bahthul Masail (perbahasan isu-isu) akan diadakan. Ia merupakan perbincangan dalam skala yang lebih kecil bagi merungkaikan suatu perkara yang rumit dengan lebih terperinci dan halus.

“Kemudian, barulah mesyuarat jawatankuasa fatwa diadakan, berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Seksyen 48 (2),” menurut hantaran itu.

Menurut hantaran sama, setiap kajian akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa fatwa dengan penuh nilai ilmiah dan melalui perbincangan dua hala antara penyelidik dan ahli jawatankuasa fatwa.

Sighah (penyataan) fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa fatwa kemudian akan disemak dan diharmonikan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal pengharmonian fatwa.

“Sighah fatwa ini akan diangkat ke mesyuarat anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk menimbang teliti fatwa yang dicadangkan seterusnya membuat syor kepada Sultan Selangor bagi mewartakan sesuatu fatwa.

“Jika Sultan Selangor memberi perkenan untuk pewartaan sesuatu fatwa, barulah fatwa itu akan dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” menurut hantaran itu.

Selangor Royal Office memaklumkan, fatwa berkenaan kemudian akan disemak kamar penasihat undang-undang sebelum disiarkan dalam warta kerajaan Selangor.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menerusi laman Facebook Selangor Royal Office menyeru umat Islam dan rakyat Selangor memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Ketelitian Dalam Berfatwa’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.