Rempuh cermin balai polis, buruh dipenjara 18 bulan

Rempuh cermin balai polis, buruh dipenjara 18 bulan

Nik Mohadi Ahmad mengaku salah melakukan khianat itu pada Mei lalu.

mahkamah kota bharu
Buruh mengaku salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana khianat ke atas Balai Polis Ketereh melibatkan kerugian RM200.
KOTA BHARU:
Buruh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan melakukan khianat dengan merempuh hingga pecah cermin pintu gelangsar Balai Polis Ketereh, pada Mei lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhi hukuman tersebut selepas mendengar dan menerima pengakuan bersalah Nik Mohadi Ahmad, 39, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat ke atas harta milik balai polis dengan cara merempuh cermin pintu gelangsar kaunter aduan hingga pecah dan menyebabkan kerugian RM200.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Ketereh pada 1.02 petang, 16 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Naabil Mohamed Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Naabil memohon hukuman setimpal sebagai bentuk pengajaran kepada tertuduh dan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan kerosakan adalah terhadap harta benda kerajaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan yang akan berjalan berturutan selepas selesai hukuman penjara yang sedang dijalani tertuduh di bawah seksyen sama yang bermula 7 Julai hingga 22 April tahun hadapan.

Tertuduh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan barangan di rumah milik bapa saudaranya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.