
Ketua Penerangan Pemuda PKR, Danish Hairudin, berkata bantahan itu juga bertujuan mendesak kerajaan Donald Trump menarik semula pencalonan Adams dan menggantikannya dengan individu lebih moderat.
“Jemputan rasmi kepada Pemuda Umno dan BN untuk menyertai demonstrasi esok akan dibuat dalam masa terdekat.
“Himpunan esok bertujuan menggesa Amerika Syarikat menarik balik pencalonan Adams dan menamakan calon lebih profesional, sederhana, dan memahami kepentingan kestabilan rantau Asia Tenggara bukan individu kontroversi,” katanya dalam sidang media.
Hadir sama Ketua Biro Antarabangsa Pemuda PKR Arief Izuadin Ahmad Jefferi, Mus’ab Muzahar daripada Amanah dan wakil Pemuda DAP Iskandar Fareez.
Danish berkata, Adams sebelum ini sering membuat kenyataan celupar, memecahbelahkan, dan bersifat provokatif tidak selari norma masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kenyataannya yang menyentuh sensitiviti agama Islam, sokongan terbuka terhadap rejim Zionis serta pandangan yang merendahkan martabat wanita amat tidak wajar bagi seseorang seperti Adams mewakili Amerika Syarikat ke Malaysia,” katanya.
Katanya, kehadiran individu itu juga berisiko menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-AS dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, Pemuda PH juga akan mengadakan ‘flash mob’ di sekitar Bukit Bintang malam ini sebelum himpunan kemuncak dijangka bermula selepas solat Jumaat esok.
Adams, 40, warganegara dwikerakyatan Australia-AS adalah personaliti media sosial, penulis dan menggambarkan dirinya sebagai ‘lelaki alfa’.
Dia bakal menggantikan Edgard Kagan, diplomat kerjaya yang dicalonkan oleh bekas presiden AS Joe Biden pada Mei 2023.
Adams terkenal dengan hantaran media sosial yang mempromosikan imej peribadinya berdasarkan stereotaip maskuliniti, serta kenyataan bersifat Islamofobia.