Penggali kubur didakwa amang seksual budak lelaki 9 tahun

Penggali kubur didakwa amang seksual budak lelaki 9 tahun

Muhammed Syahril Reza Omar, 43, didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam tandas wanita sebuah masjid di Kamunting, 11 Julai lalu.

KOMPLEKS MAHKAMAH TAIPING
Tertuduh, Muhammed Syahril Reza Omar, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun.
PETALING JAYA:
Seorang penggali kubur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammed Syahril Reza Omar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu sebaik dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam tandas wanita sebuah masjid di Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama kira-kira 12.30 tengah hari pada 11 Julai 2025.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Shabani Bahari mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Syed Saifullizan Syed Abd Razak.

Terdahulu Syed Saifullizan memohon jumlah jaminan yang minimum kerana anak guamnya hanya menerima elaun bulanan RM400 dan perlu menanggung tiga anak berusia 19, 14 dan 8 tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu dan mendekati mangsa serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan hingga kes selesai.

Sebutan semula kes dan tarikh serahan dokumen ditetapkan pada 19 Ogos depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.