
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook; Naib Pengerusi Teo Nie Ching; Pengerusi DAP Selangor Ng Sze Han, dan bekas majikan Teoh, Ean Yong Hian Wah, tunduk selama kira-kira 30 saat pada penghujung sidang media di ibu pejabat parti itu di sini.
Bagaimanapun, Loke juga merayu keluarga Teoh mempertimbangkan untuk menerima ‘sumbangan ihsan’ yang ditawarkan oleh kerajaan berhubung kematian mendiang.
Loke berkata tawaran yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sebenarnya disampaikan secara terus oleh kerajaan memandangkan ia melibatkan dana kerajaan.
Pada sidang media itu, Loke menambah bahawa tawaran tersebut tidak bersyarat dan keluarga Teoh bebas untuk terus memperjuangkan keadilan bagi mendiang.
“Tawaran sumbangan ihsan oleh kerajaan ini bertujuan menyokong kebajikan dan keperluan pendidikan anak mendiang. Kerajaan bersedia menyerahkan sepenuhnya pengurusan dana tersebut kepada Soh Cher Wei iaitu balu mendiang.
“Demi masa depan anak ini, kami dengan tulus berharap keluarga Teoh akan mempertimbangkan untuk menerima sumbangan ini.
“Paling penting, bantuan ini tidak bersyarat. Keluarga Teoh kekal bebas untuk menggunakan hak mereka untuk bersuara, termasuk meneruskan perjuangan menuntut keadilan menerusi apa jua bentuk advokasi awam,” kata Loke.
Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata DAP sentiasa dan kekal komited untuk mencari kebenaran di sebalik kematian Teoh, ‘berdasarkan prinsip undang-undang’.
Beliau turut mengakui kekecewaan keluarga mendiang kerana sehingga kini tiada seorang pun didakwa atas kematian Teoh, sambil berkata ‘DAP amat memahami’ perasaan tersebut.
Loke berkata DAP sentiasa bersedia memberikan sokongan guaman sepenuhnya kepada keluarga mendiang pada bila-bila masa, atau sekiranya terdapat bukti baharu berkaitan kes itu.
“Memandangkan siasatan masih belum lengkap dan hasilnya juga masih belum memenuhi harapan keluarga, DAP tunduk hormat kepada keluarga Teoh sebagai tanda hormat dan dukacita,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pihaknya bersedia memberi sumbangan ihsan kepada waris Beng Hock bagi kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.
Azam turut menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga Teoh atas penderitaan telah ditanggung sepanjang 16 tahun pemergiannya.
Bagaimanapun, keluarga Teoh menolak tawaran dan permohonan maaf Azam, dengan menyifatkannya sebagai tidak ikhlas, langsung tidak menunjukkan rasa kesal.
Loke berkata permohonan maaf Azam itu adalah yang pertama dibuat SPRM kepada keluarga Teoh, dan ia mencerminkan keikhlasan kerajaan Madani.
“Ini juga menunjukkan keadilan transisi apabila institusi negara mengakui kemudaratan yang pernah mereka lakukan pada masa lalu,” katanya.