
Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-raja ke-269 di Istana Negara semalam, bertitah supaya proses pelantikan jawatan penting dalam badan kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan secara telus dan berhati-hati.
Baginda bertitah langkah itu demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.
“Semua pihak diseru supaya mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah baginda menerusi Facebok Selangor Royal Office.
Baginda juga menyokong kenyataan Istana Negara pada 10 Julai lalu bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting lain selepas mendapat nasihat perdana menteri dan berunding dengan Majlis Raja-raja.
“Dalam proses rundingan tersebut, beta menekankan keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.”
Jawatan ketua hakim negara kosong susulan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun Tuan Mat tamat 1 Julai lalu selepas mencapai usia persaraan wajib 66 tahun.
Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim sedang memangku jawatan itu.