
Pejabat Sultan Selangor berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku penaung Selangor FC rasa amat dukacita dan kecewa dengan kejadian berkenaan.
“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC,” menurut kenyataan di Facebook.
Sultan Selangor juga mahu polis mencari dalang di sebalik kejadian itu, dan sekıranya didapati bersalah, haruslah dihukum dengan hukuman setimpal mengikut undang-undang.
“Ia sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” katanya.
Sultan Selangor turut mencadangkan agar penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan diharamkan daripada masuk stadium untuk menghadiri perlawanan membabitkan pasukan itu.
Dalam kejadian 1 Feb lalu, polis menahan rombongan melibatkan 10 bas memuatkan 412 orang bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan, susulan laporan berhubung tindakan sekumpulan penyokong mengadakan perarakan tidak terkawal, menghalang laluan kenderaan awam, serta membakar suar.
Bernama melaporkan seramai 21 individu didapati positif THC, tiga ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja, dan sembilan ditahan kerana memiliki suar.
Semua tangkapan, berusia 17 hingga 43 tahun, ditahan reman bagi membantu siasatan, semalam.
Di media sosial, tular video memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu, dan menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan itu.