SUPP balas kritikan Tiong berkait lantikan pemimpin masyarakat Sibu

SUPP balas kritikan Tiong berkait lantikan pemimpin masyarakat Sibu

SUPP mendakwa Presiden PDP Tiong King Sing tidak menghormati kuasa Kabinet negeri dan menjejaskan semangat Gabungan Parti Sarawak.

Tiong King Sing Sim Kui Hian
Presiden PDP Tiong King Sing (kiri) semalam mendakwa Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian campur tangan pelantikan pemimpin masyarakat dan tuai rumah di Sibu.
PETALING JAYA:
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mendakwa Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing tidak menghormati kuasa Kabinet negeri dan menjejaskan semangat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia selepas Tiong menuduh Presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian gila kuasa dan melampaui batas politik kerana didakwa campur tangan pelantikan pemimpin masyarakat serta tuai rumah di Sibu.

“Dengan melancarkan serangan terbuka ini, Tiong bukan saja mengkritik pemimpin parti lain, tetapi menunjukkan sikap kurang hormat mendalam terhadap keputusan kolektif dan kuasa institusi jawatankuasa Kabinet Sarawak,” menurut SUPP dalam kenyataan.

SUPP berkata, pelantikan terbaharu ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Cina selaras kuota ditetapkan jawatankuasa Kabinet negeri untuk setiap parti politik.

Semalam, Tiong dilaporkan berkata, pelantikan awal telah dimuktamadkan melalui konsensus oleh jawatankuasa pemilihan, tetapi dibatalkan atau dipinda Sim.

Beliau berkata, dirinya yang juga Adun Dudong dan Naib Presiden Kanan PDP, Wong Soon Koh selaku Adun Bawang Assan tidak dirujuk berhubung pelantikan baharu itu.

Bagaimanapun, SUPP berkata, Dudong diiktiraf kawasan pilihan raya SUPP sejak 1987.

“Tetapi, pada PRN lalu, calon SUPP hilang kelayakan pada saat akhir atas tuduhan tidak berasas.

“Tuduhan saat akhir itu benar-benar mengejutkan parti kami. Akibatnya, PDP mewakili GPS dalam pilihan raya itu, dengan Tiong ‘menjadi calon payung terjun’.”

‘Penggantian sistematik’

SUPP turut menuduh Tiong melakukan “penggantian sistematik” pemimpin masyarakat disyorkan SUPP kepada ahli PDP, selepas beliau menjadi Adun Dudong.

Ia turut mendakwa sesetengah pemimpin masyarakat dipujuk atau diugut meninggalkan SUPP untuk bersama PDP dengan dijanjikan jawatan KMKK.

“Adakah amalan tidak beretika PDP ini seperti tuduhan Tiong terhadap Sim: menggunakan pelantikan pemimpin masyarakat sebagai senjata untuk memonopoli pengaruh politik?”

Hubungan dua parti komponen GPS itu semakin tegang, khasnya selepas tiga Adun Parti Sarawak Bersatu yang telah dibubarkan menyertai PDP dan membawa bersama mereka tiga kerusi tradisi SUPP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.