
Johari berkata Ahli Parlimen seperti itu gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, malah kenyataan yang dikeluarkan turut mengelirukan rakyat, lapor Kosmo.
Katanya, ada tiga jenis Ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu yang baik, yang buruk dan yang teruk.
“Yang baik ialah mereka yang beri segala jenis idea, yang solid dan praktikal. Yang buruk pula asyik merungut, apa sahaja yang kita kata pasti dia mahu bantah.
“Tapi yang paling teruk ialah mereka yang tidak datang ke Parlimen. Mereka selalu tiada, tetapi di luar merekalah kononnya pemimpin.
“Tidak pergi Parlimen tetapi buat banyak bising, keluarkan macam-macam kenyataan lucu yang akhirnya memusnahkan keharmonian negara,” katanya.
Johari tidak menyebut mana-mana Ahli Parlimen. Bagaimanapun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan antara Ahli Parlimen yang mempunyai rekod kedatangan yang buruk di Dewan Rakyat.