Delegasi Ahli Parlimen akan sertai sidang Brussels, bantah kezaliman Israel

Delegasi Ahli Parlimen akan sertai sidang Brussels, bantah kezaliman Israel

Naib Presiden PKR Amirudin Shari berkata, parti itu hantar 2 Ahli Parlimen sebagai wakil.

Amirudin Shari berkata, diharapkan antara 6 hingga 8 Ahli Parlimen akan sertai konvensyen di Brussels itu nanti, termasuk daripada PKR, Umno dan PAS.
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan menghantar delegasi Ahli Parlimen rentas parti ke persidangan antarabangsa di Brussels, Belgium, bagi menyatakan bantahan rasmi terhadap tindakan Parlimen Israel yang mengenakan hukuman gantung ke atas tahanan Palestin.

Naib Presiden PKR Amirudin Shari berkata, pihaknya telah menamakan dua wakil, iaitu Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk menyertai persidangan tersebut.

“Kita juga sedang menunggu nama-nama daripada parti lain. Secara keseluruhan, kita harapkan antara enam hingga lapan Ahli Parlimen akan menyertai konvensyen di Brussels itu nanti,” katanya selepas berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PKR Gombak hari ini.

Amirudin, yang juga menteri besar Selangor berkata, penyertaan wakil daripada pelbagai parti, termasuk Umno dan PAS akan menunjukkan kesepakatan jitu Malaysia dalam isu kemanusiaan sejagat, susulan keputusan Parlimen Israel mengenakan hukuman gantung tanpa ruang rayuan kepada tahanan Palestin.

“Saya percaya kesemua wakil ini akan membawa suara hati rakyat Malaysia yang sepakat menentang genosid serta sebarang bentuk kezaliman terhadap sahabat kita di Palestin,” tambahnya.

Mengenai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, beliau memaklumkan misi bantuan kemanusiaan itu kini sedang menghampiri wilayah Sicily di Itali, setelah berdepan kelewatan akibat faktor cuaca.

Amirudin yang juga menteri penaung misi itu menjelaskan beliau terpaksa pulang ke tanah air seketika bagi menghadiri sidang DUN selepas pasukan GSF 2.0 terkandas selama dua hari di Barcelona, Sepanyol, susulan cuaca ribut.

“Mereka terpaksa berhenti untuk memastikan laluan angin bergerak dengan selamat. InsyaAllah, saya akan kembali ke sana untuk menyertai semula misi tersebut selepas sesi dewan selesai,” katanya.

Misi tersebut, katanya, akan melalui beberapa titik pemeriksaan penting termasuk Greece, Istanbul dan Cyprus.

“Jadi saya ingin melihat laluan yang boleh saya ikuti bersama dan memastikan semua peserta berada dalam keadaan yang baik, sihat dan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.