DAP dakwa Sarawak lengah bentang laporan unit Ombudsman

DAP dakwa Sarawak lengah bentang laporan unit Ombudsman

Ketua DAP negeri Chong Chieng Jen kelewatan itu timbulkan tanggapan tiada kemahuan politik terhadap prinsip integriti dan akauntabiliti.

Chong Chieng Jen
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata rakyat negeri itu menunggu perkembangan mengenai mekanisme semak dan imbang Ombudsman.
KUCHING:
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menuduh kerajaan negeri melengah-lengahkan dan kurangnya ketelusan dalam membentangkan laporan daripada unit Ombudsman.

Chong berkata, kelewatan itu menimbulkan tanggapan seolah-olah tiada kemahuan politik dan hanya ‘manis di mulut’ mengenai prinsip integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

“Adakah sebarang usaha sebenar dijalankan?” katanya dalam satu temu bual bersama FMT.

Beliau berkata, ketelusan adalah penting memandangkan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Sarawak adalah daripada parti pemerintah sedangkan di Parlimen, pengerusinya adalah daripada pembangkang.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin berkata, rakyat Sarawak telah lama menunggu perkembangan mengenai mekanisme Ombudsman, yang sepatutnya berfungsi sebagai semak dan imbang ke atas pentadbiran kerajaan.

Pada November 2023, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai undang-undang ombudsman, dengan penubuhan unit ombudsman selepas Rang Undang-Undang Ombudsman Sarawak 2023 diluluskan di DUN.

Setahun kemudian, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak, Juanda Jaya berkata, Unit Ombudsman hanya dijangka membentangkan laporan pertamanya di DUN pada 2025.

Juanda dilaporkan berkata bahawa Ordinan Ombudsman berkuat kuasa pada April dan ketua Ombudsman Sarawak dilantik pada Jun.

Bagaimanapun, Chong yang juga Adun Padungan berkata, proses ini terlalu perlahan dan tiada sebarang pendengaran diadakan.

Chong berkata, unit Ombudsman mempunyai kuasa penting untuk menyiasat aduan dan memantau kelakuan pegawai awam.

Beliau mengkritik kerajaan kerana melengah-lengahkan perkara ini. Kelewatan ini tidak boleh diterima kerana kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, kata Chong.

“Sarawak merupakan negeri terkaya dari segi KDNK, dengan hasil sebanyak RM14 bilion. Namun kita melihat tindakan yang amat perlahan dalam hal ini.”

Chong berkata, kerajaan negeri kelihatan hanya mahu menunjukkan seolah-olah mereka menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti. “Namun, tiada pemantauan sebenar terhadap pentadbiran negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.