Malaysia di landasan tepat capai sasaran KDNK 2025, kata menteri

Malaysia di landasan tepat capai sasaran KDNK 2025, kata menteri

Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia kekal fokus terhadap sasaran ekonomi.

tengku zafrul
Tengku Zafrul Aziz berkata angka perdagangan terkini bagi bulan Jun akan diumumkan pada Jumaat.
KUALA LUMPUR:
Malaysia kekal di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun ada petanda kelembapan dalam perdagangan global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata sasaran 4% hingga 5% itu masih boleh dicapai di sebalik ada petanda kelembapan dalam perdagangan global.

“Kita masih di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan. Jika kita lihat sasaran pertumbuhan sekitar 4% hingga 5%, ia masih boleh dicapai,” katanya pada sidang media.

Walaupun mengakui ada perdagangan yang mungkin boleh dipercepatkan dalam tempoh lima bulan lalu, Tengku Zafrul berkata beliau menjangka momentum itu akan berterusan.

“Kita akan umumkan angka perdagangan terkini bagi Jun pada Jumaat ini, anda boleh lihat datanya nanti.”

Tengku Zafrul berkata rundingan tarif sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat juga mencatat kemajuan.

“Kami telah mengadakan perbincangan yang produktif — saya dan pasukan bersama pejabat Wakil Perdagangan AS. Kini, kami sedang meneroka pelbagai isu tarif dan bukan tarif yang boleh dimuktamadkan secara bersama.”

Beliau berkata antara isu utama dibangkitkan oleh AS ialah liberalisasi sekatan pemilikan ekuiti asing dalam beberapa sektor strategik.

“Seperti yang kita tahu, Malaysia mengenakan sekatan ekuiti terhadap pemegang saham asing dalam sektor tertentu. AS meminta kita mempertimbangkan semula atau meliberalisasikan sektor-sektor tersebut.

“Kita perlu berbincang dengan industri berkaitan untuk menentukan sama ada kita bersedia melonggarkan sekatan pegangan ekuiti itu,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menegaskan tidak semua permintaan AS akan dipenuhi.

“Kita sedang berusaha untuk memenuhi tarikh akhir baharu ini (1 Ogos), tetapi bukan dengan mengorbankan kepentingan negara. Sesetengah permintaan kami anggap tidak adil untuk Malaysia.”

Ruang untuk fleksibiliti

Mengenai struktur tarif sedang dibincangkan, Tengku Zafrul berkata masih ada ruang untuk rundingan secara berperingkat mengikut sektor.

“Ada peluang untuk kita merundingkan tarif di bawah 10% bagi sektor-sektor tertentu. Tetapi dalam masa sama, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada rundingan perdagangan ini sahaja.”

Beliau turut merujuk kepada kedudukan semasa beberapa sektor utama seperti semikonduktor dan farmaseutikal.

“Sebagai contoh, sektor farmaseutikal kini berada dalam kedudukan yang baik. Buat masa ini, tarif bagi sektor semikonduktor dan farmaseutikal masing-masing berada pada kadar sifar.

“Kita mahu mengekalkan kadar sifar itu, tetapi sama ada kita mampu berbuat demikian adalah perkara lain.”

Mengenai potensi kesan perubahan tarif terhadap zon ekonomi khas Johor-Singapura, Tengku Zafrul berkata pelabur masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Pelabur sedang memerhati bagaimana senario tarif ini akan berkembang sebelum mereka mengira semula langkah pelaburan. Perkiraan itu hanya boleh dibuat apabila ada kepastian.”

Pada 8 Julai lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif sebanyak 25% ke atas Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.